Kajian Semula Persempadanan: Bantahan Tun M bukti pembangkang terdesak - Ahmad Bashah




Gambar fail

ALOR SETAR, 30 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat tidak menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya mengikut kesesuaian sesuatu kawasan.

"Keputusan ini dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya setelah mengambil kira beberapa aspek antaranya jumlah pengundi di sesuatu kawasan. Bila berlaku perubahan ini, jangan cari salah atau jadikan ia sebagai isu, sebaliknya cari jalan sekiranya rasa perubahan ini tidak memihak kepada mereka.

"Langkah ini juga memberi ruang kepada calon untuk bekerja keras dan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat kawasan masing-masing dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu membuat persiapan yang lebih rapi," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah bantuan khas kerajaan negeri kepada pasangan Aniz Mohd zain, 65, dan Siti Zaleha Ahmad, 55 di Kampung Lubuk Peringgi di sini hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN Kedah berkata tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad membantah dengan mendakwa kajian semula persempadanan itu memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menunjukkan pembangkang terdesak untuk meraih undi rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tindakan Dr Mahathir itu dilihat 'ganjil' kerana beliau turut melaksanakan proses sama dalam tempoh pemerintahannya selama 22 tahun menjadi perdana menteri, katanya.

Masa beliau (Dr Mahathir) memerintah, tidak pernah pula buat aduan mengenai kajian semula persempadanan, tetapi bila sudah beralih arah masuk sana (pembangkang) merungut pula kononnya apa yang dilakukan SPR itu tidak betul, katanya.

Rabu lepas, Dr Mahathir menyertai kira-kira 200 orang menyertai perarakan bagi membantah usul kajian semula persempadanan itu. Perarakan itu dianjurkan kumpulan pendesak perubahan pilihan raya Bersih 2.0 untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul kajian semula persempadanan itu diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu itu selepas mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen melalui undi belah bahagian.

-- BERNAMA