Kajian semula persempadanan mudahkan suara majoriti rakyat didengari - UMNO Kelantan




KOTA BHARU, 31 Mac (Bernama) -- Kajian semula persempadanan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu lepas memudahkan suara majoriti rakyat, terutama membabitkan kaum-kaum tertentu didengari, kata Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Beliau berkata ia juga memberi kelebihan dari segi pembangunan rakyat di satu-satu kerusi.

"Taburan penduduk di sesuatu tempat tak sama… ada kawasan bandar, luar bandar, pinggir bandar, hutan. Sabah dan Sarawak pula terlalu luas. Justeru, kajian semula persempadanan ini dilakukan mengikut jumlah pengundi di sesuatu kawasan.

"Ia juga memberi peluang kepada wakil rakyat untuk berkhidmat lebih baik kepada masyarakat yang diwakilinya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana di Dewan Hajah Sufiah, Kampung Padang Upih, Ketereh di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin.

Pada majlis berkenaan, seramai 415 ketua isi rumah di jajahan Kota Bharu yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara ketika banjir pada tahun lepas menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 seorang.

Rabu lepas, usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diluluskan Dewan Rakyat setelah 129 anggota Parlimen menyokong usul itu berbanding 80 yang menolak.

-- BERNAMA