Abdul Rahman yakin BN Sepanggar tidak gusar soal siapa calon
SEPANGGAR, 31 Mac (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yakin kerjasama pemimpin Barisan Nasional (BN) Sepanggar akan kekal utuh walaupun muka baharu dijangka ditampilkan sebagai calon di kawasan Parlimen itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata ini kerana BN Sepanggar mempunyai para pemimpin yang sentiasa akur kepada sebarang keputusan pucuk pimpinan parti dan tidak mudah putus asa untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Saya kira kepimpinan di Sepanggar akan akur dengan keputusan bakal dibuat oleh Pengerusi BN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman, khususnya berkenaan penentuan calon (bertanding) di semua kawasan, termasuk di Sepanggar."
"Saya secara peribadi telah berjumpa dengan anggota Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris dan kami telah membuat keputusan bahawa apa sahaja berlaku di Sepanggar (penentuan calon PRU14), tujuan kami adalah dua iaitu mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai serta merampas semula kerusi DUN Inanam," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Bersama Pemimpin Masyarakat Sepanggar di sini, hari ini.
Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud menjawab desas desus bahawa beliau akan dicalonkan untuk kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU14.
Beliau juga menjelaskan kekerapannya berjumpa dengan rakyat di Sepanggar adalah atas kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi memastikan Sepanggar sebagai lokasi pelabuhan utama negeri menjadi antara pemacu pembangunan ekonomi negeri.
"Kita (BN) berjuang (di semua kawasan) dalam pelbagai kapasiti, tidak semestinya sebagai YB (Yang Berhormat)," kata Abdul Rahman.
-- BERNAMA