Manifesto BN PRU14 beri perhatian khusus aspirasi Sabah, Sarawak - Annuar





KOTA KINABALU, 1 April (Bernama) -- Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi perhatian khusus terhadap aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Annuar berkata manifesto, yang dijangka dibentangkan pada 7 April itu, adalah satu bentuk hala tuju dan jalan ke hadapan yang bakal memberi harapan besar serta sinar baharu bagi meletakkan Sabah dan Sarawak di hadapan sekali gus melonjakkan lagi potensi kedua-dua negeri termasuk dalam aspek pembangunan sumber manusia, sumber alam semula jadi dan perpaduan nasional.

"Perdana Menteri cuba menterjemahkan aspirasi dan hati nurani rakyat Sabah dan Sarawak dalam manifesto ini. Usaha menterjemahkan potensi sebenar Sabah dan Sarawak. Perdana menteri bersedia memberikan komitmen tinggi (terhadap Sabah dan Sarawak).

Manifesto itu sesuatu yang besar untuk mereka (rakyat Sabah dan Sarawak) dan bukan lagi retorik tetapi ia sudah menjadi satu perancangan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Annuar berkata manifesto itu juga antara lain memasukkan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak bagi menyatakan komitmen jelas BN memastikan masa depan cerah bagi kedua-dua negeri tersebut.

Annuar berkata, kerajaan BN telah mengambil pendekatan berfikir di luar kebiasaan dalam membentuk manifesto yang disifatkannya sebagai bukan hanya sekadar janji tetapi komitmen bagi melaksanakannya dalam memastikan harapan baharu rakyat dan negara secara keseluruhannya pada masa depan.

Berbeza dengan parti pembangkang, Annuar berkata, mereka dilihat menggariskan manifesto yang lazimnya bersifat populis untuk menarik perhatian pengundi semata-mata tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap kestabilan dan pembangunan ekonomi negara.

"Seperti disebut Tun M (Dr Mahathir Mohamad) dalam wawancara dengan The Sunday Times Singapore, beliau sendiri mengakui berkemungkinan beliau tidak dapat melaksanakan manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan dan beliau membuat pengakuan bahawa setiap janji itu realitinya memerlukan perbelanjaan.

"Tun M memberi alasan bahawa dalam gabungan pakatan terlalu ramai berideologi sosialis yang kalau boleh semua hendak dipercumakan tanpa memikirkan impak kepada ekonomi secara keseluruhannya dan itu mendorong Tun M menyatakan berkemungkinan beliau tidak dapat nak menunaikan apa yang dijanjikan.

"... Orang kata shooting at your own feet (merosakkan rancangan sendiri) ... manifesto baru dibentang tetapi sendiri menimbulkan keraguan," katanya.

Bagaimanapun, Annuar berkata beliau yakin rakyat tidak akan cepat terpengaruh dengan janji-janji digariskan parti pembangkang dalam manifesto mereka kerana rakyat pada hari ini sudah cukup terdidik selain tidak mudah termakan pendekatan populis pembangkang.

Beliau berkata rakyat mahu melihat sesuatu yang benar-benar membawa kebaikan kepada mereka, dan atas sebab itulah, BN sangat berhati-hati dengan memastikan parti itu mempunyai keupayaan untuk merealisasikan setiap apa dijanjikan kepada rakyat.

Mengenai jentera PRU14 BN Sabah, Annuar berpuas hati dengan kesiapsiagaan dan semangat tinggi jentera parti untuk menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Saya merasakan kesiapsiagaan ini akan membolehkan parti memberikan satu prestasi yang baik. Di samping itu, kita juga ingin fakta-fakta terutama berkaitan manifesto BN PRU14 akan sampai kepada kumpulan sasar dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA