UMNO Kelantan mampu tangani isu kekecewaan tidak terpilih calon BN pada PRU14

KOTA BHARU, 1 April (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed optimis pihaknya mampu menangani isu bakal calon yang kecewa sekiranya tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Beliau berkata isu itu sebenarnya adalah perkara biasa dan juga berlaku di peringkat tertinggi setiap kali pilihan raya.
"Apa yang penting kita sebagai anggota UMNO perlulah menerima apa sahaja keputusan pihak tertinggi parti dan sebagai anggota kita perlu wala' (taat) dengan apa sahaja yang diputuskan pemimpin.
Kita berharap semua anggota akur dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wacana Suara Akar Umbi Rakan Teknologi Maklumat (IT) dan Anak Muda serta Warga Komuniti 1Malaysia (K1M) peringkat neger di sini hari ini.
Semalam, Mustapa menyatakan senarai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi menghadapi PRU14 hampir siap dan calon yang tersenarai itu juga telah disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ia akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.
"Dalam pemilihan calon semestinya hanya seorang daripada lima calon yang dikemukakan akan dipilih dan empat lagi tidak dipilih, yang tidak dipilih pasti akan kecewa namun UMNO Kelantan mempunyai kaedah untuk menangani mereka yang kecewa ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dalam UMNO dan parti komponen BN yang lain memberi sokongan penuh terhadap usaha untuk BN kembali mentadbir Kelantan pada PRU14 nanti.
"(Kembali mentadbir Kelantan) Ini misi hidup dan mati kita (UMNO dan BN) dan inilah peluang terbaik selepas 28 tahun PAS memerintah negeri ini, kita sudah berjuang terlalu lama dan kita mahu melihat perubahan berlaku di Kelantan," katanya.
-- BERNAMA