BN platform terbaik pastikan pembangunan Kampar berterusan




Gambar fail

KAMPAR, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi platform terbaik bagi memastikan peruntukan, infrastruktur serta pembangunan di kawasan Kampar terus membangun, asalkan dijamin dengan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Naib Presiden MCA, Senator Datuk Lee Chee Leong berkata segala pembangunan dan transformasi yang dirancang akan lebih berkesan jika wakil rakyat BN diberi mandat, sekaligus memudahkan urusan peruntukan dan pembangunan infrastruktur disalurkan ke kawasan Parlimen itu.

"Justeru saya menyeru rakyat untuk menyokong kami (MCA) dalam membawa perubahan yang lebih positif, bukan hanya di kerusi Parlimen tetapi juga tiga kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri), iaitu Malim Nawar, Keranji dan Tualang Sekah," katanya.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan II berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program penutup Negaraku: Menghubung dan Menyatu @ Kampar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar di sini hari ini.

Lee baru-baru ini diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kampar pada PRU-14.



Selain itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut mengumumkan nama Timbalan Ketua Bahagian MCA Kampar, Chang Gwo Chyang sebagai calon DUN Malim Nawar manakala Setiausaha Bahagian MCA Kampar, Daniel Wa sebagai calon DUN Keranji.

-- BERNAMA