Kekuatan jentera peringkat akar umbi tentukan kemenangan BN - Salleh Keruak





TEMERLOH, 2 April (Bernama) -- Kekuatan jentera di peringkat akar umbi penting untuk menentukan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata untuk itu semua jentera parti komponen perlu bersatu dan berani menentang apa sahaja cabaran yang mendatang termasuk tomahan dan fitnah pembangkang yang dilemparkan melalui media sosial.

"Kita kena lawan ketakutan, kalau berjuang kena berani? lawan terus lawan, lawan di media sosial, lawan di ceramah-ceramah yang diadakan, barulah kita boleh menang.

"Itulah yang penting, kita bina pasukan padu dan kukuh, setiap anggota pasukan ada peranan masing-masing, calon ada peranan, pencadang ada peranan, semua ada peranan masing-masing," katanya ketikla berucap pada pelancaran Jentera BN PRU14 Parlimen Temerloh, di sini, malam ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi BN Temerloh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, dan ketua-ketua parti komponen Bahagian Temerloh.

Lebih 2,000 anggota jentera BN Parlimen Temerloh hadir pada program ini bagi menyatakan ikrar untuk menjayakan 'Misi 4-0' iaitu menawan kembali kerusi Parlimen Temerloh, kerusi DUN Kuala Semantan dan DUN Mentakab yang tewas kepada pembangkang selain mengekalkan kemenangan di DUN Lanchang.

Dalam masa yang sama, Sallehj yang juga Bendahari BN dan juga UMNO, turut mengingatkan semua anggota parti supaya terus setia kepada pemimpin serta parti dan bukan seperti parti pihak pembangkang yang taksub kepada pemimpin berusia 93 tahun.

"Pakatan pembangkang adalah gabungan yang tidak mempunyai idealogi untuk rakyat dan bakal mengalami kehancuran selepas PRU14 kerana gabungan itu terbentuk atas dasar untuk mencapai cita-cita peribadi individu tertentu antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu membalas dendam terhadap pimpinan negara.

"Beliau (Dr Mahathir) bertindak demikian kerana menganggap dirinya mengetahui segala-galanya, marah anaknya tewas jawatan naib presiden dalam pemilihan UMNO dan merasakan segala legasinya dihapuskan.

"Jadi kita kena muafakat untuk menyelamatkan Malaysia...mereka parti tidak idealogi, aktif bila menjelang pilihan raya dan hanya tahu berpolitik 24 jam sedangkan BN aktif membantu rakyat 24 jam," katanya.

-- BERNAMA