Pengangkutan awam darat lebih efisien, moden untuk rakyat - PM Najib





SEGAMAT, 3 April (Bernama) --Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan sistem pengangkutan awam darat di Malaysia kini lebih efisien, moden dan boleh diharapkan rakyat berbanding semasa pentadbiran pemimpin terdahulu.

Beliau berkata kepimpinan terdahulu yang menerajui negara selama 22 tahun tidak memberi perhatian dan keutamaan kepada pengangkutan awam darat.

"Waktu seseorang itu menjadi perdana menteri selama 22 tahun, pengangkutan awam tidak diberi keutamaan malah bercelaru kerana sistem yang diguna pakai bukan sistem bersepadu.

"Malah, pemilik-pemiliknya (syarikat yang mengendalikannya) berasingan dan terlalu banyak tumpuan diberikan kepada kenderaan swasta atau 'passenger car' sehinggakan keadaan jalan khususnya di Lembah Klang begitu sesak sekali.

"(Dan) semua itu menjadi kekangan kepada pembangunan ekonomi negara," kata beliau ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata apabila pengangkutan awam tidak efisien, aktiviti ekonomi juga akan terbatas disebabkan produktiviti yang semakin menurun.

"Justeru itu, apabila kerajaan mengambil langkah positif, kita dapat lihat kesan-kesan awalan misalnya keadaan trafik di Kuala Lumpur tidaklah begitu berat berbanding masa lalu apabila MRT Line Pertama dari Sungai Buloh ke Kajang siap.

"Line 2 sedang kita bina dari Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya manakala Line 3 sedang dirancangkan. Apabila siap kesemuanya nanti, keseluruhan Lembah Klang akan menjadi antara kawasan yang mempunyai pengangkutan awam termoden di dunia, Insya-Allah," kata perdana menteri.

Selain itu, beliau berkata perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) menjadi sistem pengangkutan kereta api yang popular dan mendapat sambutan hangat sehinggakan ada segelintir rakyat yang tinggal di Tanjung Malim, mahupun Ipoh, menggunakan perkhidmatan itu untuk perjalanan harian.

"Ini menunjukkan bahawa gaya hidup di Malaysia akan berubah dan apabila kita tinggal di luar bandar utama, kita dapat membeli rumah yang lebih besar dengan harga yang sama. Jadi, kualiti hidup akan bertambah dan nilai tanah juga bertambah seperti bandar utama,' kata beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat.

-- BERNAMA