PRU14: BN perlu tebus maruah di Kelantan - TPM Zahid 
KUALA KRAI, 3 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal menjadi gelanggang bagi Barisan Nasional (BN) terutamanya di Kelantan untuk menebus kembali maruah selepas negeri itu diperintah pembangkang selama 27 tahun.
Beliau berkata justeru itu, jentera BN perlu bekerja keras dan ikhlas dengan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada parti agar kemenangan dapat dicapai.
"Kita bekerja bukan kerana duit, kita bekerja bukan kerana upah. Inilah masa dan ketikanya untuk kita menebus maruah dan membasuh arang di muka kita selama 27 tahun di Kelantan ini.
"Inilah peluang yang terbaik untuk kita. Cukuplah selama ini kita menagih seperti 'melukut di tepi gantang," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang di sini, hari ini.
Turut hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti berkata pada PRU13, BN kalah tipis di Parlimen Kuala Krai dan memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada empat kerusi DUN yang dipertandingkan.
"Saya lihat dalam PRU13 lalu, kita cuma kalah 2,043 undi bagi kerusi Parlimen Kuala Krai. Kita kurang 1,021 undi sahaja untuk menang.
"Begitu juga kerusi DUN yang lain. Takkanlah kita tak boleh ambil (kerusi DUN) Mengkebang. Kita kalah 1,072 undi sahaja. (Kerusi DUN) Guchil kita kalah 442 undi. (Kerusi DUN) Manek Urai kita kalah 1,633 undi sahaja. Kita akan ambil alih dan pertahankan (kerusi DUN) Dabong dan naikkan undinya," katanya.
Beliau berkata antara resepi bagi memenangi kerusi Parlimen Kuala Krai adalah dengan menambah jumlah undi di empat DUN di bawahnya.
Dalam sidang berita kemudian, Ahmad Zahid berkata BN mampu memenangi kerusi Parlimen Kuala Krai dan empat DUN di bawahnya kerana kerajaan Persekutuan pimpinan BN telah membuktikan bahawa ia merupakan parti yang mengotakan janji-janjinya.
Beliau berkata ini dibuktikan menerusi pembinaan 1,115 Rumah Kekal Baharu (RKB) kepada mangsa bencana banjir pada 2014 serta pembinaan hospital baharu Kuala Krai dan beberapa jambatan bagi kemudahan masyarakat di Parlimen berkenaan.
"(Pembinaan infrastruktur) bukan hanya faktor untuk memberikan kemenangan (kepada BN) tetapi pada hemat saya, rakyat Kelantan sendiri perlu terjemahkan sokongan (kepada BN) kerana mereka dipayungi lembayung kekabutan yang tak kunjung padam.
"Cahaya baharu di hujung terowong harus dicari dan mudah-mudahan lorong-lorong gelap itu diterangi di bawah kepimpinan baharu," kata Ahmad Zahid.
Terdahulu, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi membina madrasah bernilai RM200,000 di lima penempatan RKB iaitu Staponal, Sungai Durian, Manjor, Kemubu dan Sungai Peria.
Daripada peruntukan itu, sebanyak RM500,000 disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mangsa banjir pada 2014, RM1 juta kepada pesakit kronik dan warga emas, RM2 juta bagi membaiki rumah-rumah daif dan RM2 juta bagi membina jambatan baharu menghubungkan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Temalir ke Kampung Temalir Lama di sini.
Beliau turut menyerahkan kunci RKB kepada 32 penerima yang menetap di RKB Sungai Peria.
-- BERNAMA