Wajah baharu web BN tawar pengalaman memuaskan - Tengku Adnan




KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Laman sesawang berwajah baharu Barisan Nasional (BN) www.barisannasional.org.my yang dilancarkan secara rasmi semalam, dijangka mampu memanfaatkan semua pihak dalam memberikan pengalaman perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata laman sesawang itu telah dikemas kini dengan reka bentuk menarik dengan memuat naik maklumat terkini bagi memastikan akses mudah serta menyeluruh untuk rakyat.

"Lebih menarik lagi, laman tersebut turut merangkumi enam bahasa, bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban dan Dusun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Adnan berkata laman sesawang itu turut dilengkapi ruangan khas "Bantuan Kerajaan' yang menyenaraikan lebih 200 bantuan yang telah disalurkan kepada setiap kelompok masyarakat.

Beliau berkata terdapat juga ruangan khas 'Janji Ditepati' yang dilengkapi pencapaian 99.4 peratus manifesto BN yang dijanjikan bersempena pilihan raya umum ke-13 selain ruangan "Pencapaian Negara dan Kedudukan Dunia' yang menyenaraikan pencapaian negara dalam pelbagai aspek.

"Laman ini turut dilengkapi dengan ruangan 'Saya Nak', khusus untuk memudahkan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mencari lokasi perkhidmatan yang disediakan kerajaan dan agensi-agensi," tambahnya.

-- BERNAMA