BN janji hapus perjudian seratus peratus di Kelantan - TPM




MACHANG, 3 April (Bernama) -- Barisan Nasional menyatakan komitmen untuk menghapus kegiatan perjudian seratus peratus di Kelantan sekiranya rakyat memberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Komitmen BN itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai menepis tomahan pihak tertentu kononnya jika BN kembali mentadbir negeri ini akan menghalalkan kegiatan perjudian.

"Saya selaku Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan timbalannya Datuk Din Ahmad untuk menghapuskan kegiatan perjudian seratus peratus," katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri lebih 10,000 orang penduduk Machang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Barisan Nasional Kelantan dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Anggota Parlimen Machang.

"Ini komitmen saya, ini janji saya, janji yang ditepati, saya tidak ada kompromi dalam soal akidah dan ibadah," katanya yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata Ops Dadu dilaksanakan oleh polis bagi membanteras kegiatan perjudian di seluruh negara.

"Operasi Dadu dijalan oleh PDRM bukan hanya arahan khas kepada (polis) Bukit Aman malah di semua polis kontinjen dan ibu pejabat polis daerah, jika ada di kalangan pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan mana-mana tauke judi atau sindiket judi, saya tidak akan kompromi pasti tindakan akan dilakukan," katanya.

Beliau berkata Kerajaan BN juga memberi komitmen untuk membanteras sepenuhnya Pil Kuda (Methamphetamine) kerana Kelantan adalah negeri terbesar pengedaran dadah tersebut.

"Walaupun indeks jenayah di Kelantan telah turun, apabila BN ambil alih (pentadbiran Kelantan) pastikan ianya turun lebih banyak supaya rakyat Kelantan akan rasa lebih selamat," katanya.

Sementara itu, berdasarkan semangat dan kehendak rakyat Machang untuk berubah, beliau percaya BN akan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Machang dan merampas tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Pulai Chondong, Temangan dan Kemuning yang kini dimiliki PAS pada PRU14.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan membaikpulih termasuk masjid, sekolah dan baikpulih rumah penduduk miskin.

-- BERNAMA