Adnan yakin BN menang dua pertiga di Pahang

JERANTUT, 3 April (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yakin Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri itu sekiranya semua parti komponen termasuk UMNO meraih kejayaan di semua kawasan sasaran mereka.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kemenangan majoriti dua pertiga mampu direalisaikan sekiranya semua jentera parti melakukan usaha keras di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berpotensi untuk dirampas kembali dan mempertahankan kawasan yang dimenangi sebelum ini.
"Sekiranya parti komponen mampu meraih kemenangan di semua kerusi sasaran, ini yang akan menjadi punca untuk meraih kemenangan dua pertiga BN di negeri Pahang," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Peneroka Felda Lepar Utara 3 di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Datuk Seri Abu Bakar Harun, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak, ADUN Pulau Tawar Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.
Sementara itu, katanya Adnan turut melahirkan keyakinan terhadap sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat 115 penempatan tanah rancangan Felda di Pahang walaupun mereka disogokkan dengan pelbagai isu oleh pihak pembangkang.
"Rakyat bercakap mengenai kos sara hidup tetapi kerajaan sudah melakukan banyak perkara termasuk pemberian BR1M, malah jualan barangan keperluan pada harga murah juga akan diteruskan selepas pilihan raya," katanya.
Sementara itu Adnan berkata seramai 38,178 peneroka dari keseluruhan 115 tanah rancangan Felda di negeri ini telah menerima suratan hak milik yang mewakili 88.53 peratus daripada keseluruhan peneroka di Pahang.
Menurut Adnan, hanya tinggal baki seramai 4,948 daripada keseluruhan 43,126 peneroka yang masih belum menerima suratan hak milik tanah daripada keseluruhan keluasan 203,011 hektar tanah rancangan Felda seluruh Pahang.
Menurutnya, daerah Maran menjadi kawasan paling ramai peneroka telah menerima suratan hak milik tersebut iaitu melibatkan seramai 12,072 peneroka.
Adnan berkata, kelewatan pemberian hak milik disebabkan ada di kalangan peneroka yang lewat membayar hutang dan kerumitan pengukuran sempadan tanah antara peneroka.
Menurutnya, Pahang mempunyai sejumlah 43,126 peneroka bersamaan 38.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 112,638 peneroka seluruh negara.
Katanya, usaha memberikan suratan hak milik kepada baki 4,948 lagi peneroka di negeri ini akan dijalankan secara berterusan yang mana setiap pejabat daerah dan tanah di negeri ini mempunyai unit khas bagi menyelesaikan perkara tersebut.
-- BERNAMA