40,000 anggota jentera hadir pengumuman Manifesto BN Sabtu ini





KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kira-kira 40,000 anggota jentera Barisan Nasional (BN) dijangka menghadiri majlis pengumuman Manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Sabtu ini.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tahap keseluruhan persediaan majlis itu, yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 8 malam, kini berada pada 80 peratus termasuk aspek teknikal dan keselamatan.

"Hasil lawatan kerja hari ini, saya mendapati persediaan berjalan lancar hasil kerjasama semua badan perhubungan negeri.

"Setakat hari ini, saya melihat komitmen seluruh jentera BN menggalakkan dengan 40,000 kehadiran," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Pelancaran Manifesto BN bagi PRU-14 di sini.

Ab Rauf berkata Axiata Arena hanya mampu memuatkan 9,000 orang manakala bakinya akan menyaksikan pengumuman manifesto menerusi enam skrin LED pelbagai saiz di perkarangan luar dewan.

"Bagi yang tidak dapat hadir, mereka berpeluang menyaksikan siaran secara langsung di televisyen," katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kesemua yang hadir dikehendaki memakai pakaian serba biru bagi menyerlahkan semangat lautan biru BN yang dipimpin Najib.

"Kita harap ada semangat baharu yang akan disuntik bagi memastikan semangat daya juang apabila mendengar amanat Najib yang juga Presiden UMNO," katanya yang mahu semangat itu dibawa pulang ke kawasan masing-masing untuk dizahirkan pada PRU-14 tidak lama lagi.

Mengenai aspek keselamatan, Ab Rauf berkata kira-kira 400 anggota keselamatan terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia ditugaskan mengawal keadaan lokasi bagi memastikan kelancaran majlis tersebut.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga dipertanggungjawabkan menyediakan makanan dan minuman secara percuma kepada pengunjung yang hadir.

-- BERNAMA