Malaysia akan lebih cemerlang dengan mandat lebih kukuh untuk BN - Najib





PUTRAJAYA, 4 April (Bernama) -- Mandat yang kukuh untuk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang akan menjadi kunci bagi melaksanakan lebih banyak lagi perkara yang baik untuk rakyat Malaysia dan membawa negara ke tahap yang lebih tinggi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang saya minta bukan sahaja kemenangan tetapi juga (keperluan) kepada sebuah kerajaan yang kuat agar kami dapat menyampaikan lebih banyak lagi untuk rakyat," kata perdana menteri kepada para editor kanan di pejabatnya di sini hari ini dengan menjelangnya pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN itu menyatakan keazamannya untuk menjadikan Malaysia antara negara yang terkemuka di dunia dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh yang memberi manfaat kepada lebih 30 juta penduduk.

"Sasaran kita untuk menjadi antara negara yang terkemuka di dunia, tidak kurang daripada itu. Saya mahu Malaysia menjadi negara tahap pertama dan saya berazam untuk kita dapat mencapainya," kata Najib yang menjadi perdana menteri pada 2009.

Najib, yang akan mengetuai BN dalam pilihan raya umum yang disifatkan sebagai 'ibu' bagi semua pilihan raya, percaya mandat yang kukuh daripada rakyat untuk BN akan terus mengukuhkan kedudukan ringgit dan menggalakkan Bursa Malaysia serta pelaburan asing.

Mengenai manifesto BN yang akan dilancarkan Sabtu ini, Najib berkata mesej utama ialah untuk mengajak rakyat bersama BN dalam agenda Menghebatkan Malaysia.

"Kami telah melaksanakannya dan kami mempunyai rekod kejayaan sejak lima tahun yang lepas. Malah, sebelum itu kami telah melaksanakannya. Jika anda lihat fakta-fakta yang nyata, kami telah melaksanakannya. Fakta itu tidak dapat dinafikan," tegas beliau.

Najib juga berkata semasa pentadbiran beliau, enonomi negara berjaya diurus dengan baik meskipun dunia dilanda cabaran ekonomi berpunca daripada krisis yang dikenali sebagai subprime mortgage atau kejatuhan luar biasa pasaran jual beli hutang di Amerika Syarikat dan berikutan penurunan harga petroleum dunia.

Malah, menurut perdana menteri, mata wang ringgit yang semakin mengukuh sekarang pada kadar RM3.86 berbanding dolar Amerika adalah berdasarkan sentimen pasaran dan fundamental, bukan sesuatu yang 'artificial' (buatan) seperti yang berlaku pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Oleh itu, kata Najib, BN mahu menumpukan kepada agenda masa depan negara untuk memastikan Malaysia terus berada di hadapan dan tidak ketinggalan berbanding negara lain yang juga berusaha untuk maju.

"Sebab itu, saya mahu mandat (lebih kukuh), mandat baharu daripada rakyat," katanya mengenai bentuk kemenangan pilihan raya yang diperlukan untuk menghebatkan lagi pencapaian Malaysia di bawah payung BN.

Menyentuh serangan pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang pilihan raya kali ini, Najib berkata stail kempen politik bekas perdana menteri itu adalah bersifat ekstrem.

"Stail Mahathir adalah untuk pergi kepada ekstrem. Apa yang dia tidak kata pasal (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu. Begitu juga kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Sekarang dia kata pada saya, modus operandi yang sama," katanya.

"Bagi saya, dia mengajar nilai-nilai yang tidak baik dalam masyarakat," katanya, sambil menambah bahawa melemparkan kritikan tidak ada salahnya namun ia tidak beretika untuk memfitnah seseorang.

Najib berkata kebanyakan serangan Dr Mahathir terhadapnya terlalu diperbesar-besarkan, termasuk mengenai isu-isu seperti 1MDB.

Malah, kata Najib, Anwar yang kini bersama Dr Mahathir dalam pakatan pembangkang, juga dalam kempen-kempen politik satu ketika dulu selalu membangkitkan pelbagai tohmahan terhadap Dr Mahathir dan anak-anak beliau.

Perdana menteri juga mengakui peranan dan impak media sosial pada pilihan raya kali ini terutama pendapat yang disebarkan boleh mempengaruhi tingkah laku pengundi.

Menurutnya, sesetengah pendapat yang disebarkan melalui media sosial tidak semestinya merupakan pendapat majoriti kerana kadangkala ia hanya pandangan minoriti, manakala ada juga pendapat yang betul dan yang salah.

Najib seterusnya berkata pembangkang dijangka akan terus meracuni rakyat kononnya BN akan melakukan penipuan untuk memenangi pilihan raya kali ini.

Beliau menegaskan sistem pilihan raya yang ada sekarang adalah sama malah lebih telus berbanding dahulu.

Tidak ada cara kami (nak) menipu. Di tempat mengundi, wakil pembangkang pun ada. Jika ada 40,000 orang rakyat Bangladesh, pasti mereka tidak terlepas, katanya, merujuk kepada berita palsu kononnya BN membawa masuk warga asing sebagai pengundi hantu yang disebarkan pembangkang pada PRU13

Menurutnya, pembangkang sengaja menimbulkan berita tidak benar untuk menyalahkan BN.

Mengenai calon BN, Najib mengakui bukan senang untuk memilih calon yang sesuai untuk bertanding kerana menurutnya seorang yang popular di dalam parti tidak semestinya popular dalam kalangan pengundi dan begitu juga sebaliknya.

Ditanya tentang sentimen rakyat semasa kunjungan beliau ke seluruh negara akhir-akhir ini, Najib berkata beliau mendapati 'mood' mereka adalah lebih baik berbanding pada pilihan raya umum lepas.

Saya tidak mengesan mood untuk menukar kerajaan. Saya rasa moodnya lebih baik berbanding pilihan raya lepas," katanya, sambil menambah sudah pasti tidak ada tsunami Melayu.

Najib tidak menjawab pertanyaan mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Mengenai kemungkinan BN menang semula negeri yang dikuasai pembangkang, beliau berkata peluang tetap ada lebih-lebih lagi jika calon yang dipilih merupakan alternatif lebih baik berbanding calon pembangkang.

Ia masih merupakan satu cabaran untuk memenangi semula Selangor namun ia tidak mustahil. Kita mesti mewujudkan faktor 'wow' dan mencari seseorang yang boleh memimpin Selangor, katanya sambil berkata BN akan mengenal pasti calon yang sesuai untuk tujuan ini.

Najib seterusnya berkata pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang jelas gagal menangani masalah rakyat misalnya isu air yang melanda Selangor baru-baru ini.

Di Pulau Pinang pula, menurut perdana menteri, keadaan di negeri itu sebenarnya tidak sebaik semasa di bawah pentadbiran bekas ketua menteri Tan Sri Koh Tsu Koon.

Mengenai PAS, Najib berkata: "PAS bukan musuh mahupun kawan. Namun ada lapangan di mana kita boleh bersaing dan bidang yang kita boleh bekerjasama.

Tengok kepada keadaan. (Tapi) kita tengok undang-undang antiberita tidak benar, mereka sokong (BN). Secara umum terutama dalam soal Islam kita memang sama tetapi dalam bidang tertentu yang lain...ada berbeza (antara PAS dan BN)," katanya.

Menjawab pertanyaan lain, Najib berharap rakyat menerima dan menghargai segala usaha yang dilakukan kerajaan untuk kepentingan mereka.

-- BERNAMA