PRU14: Tiada pertukaran kerusi Parlimen Batu Kawan, Bayan Baru antara Gerakan dan MCA
GEORGE TOWN, 5 April (Bernama) -- Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini mengesahkan bahawa tiada pertukaran kerusi parlimen Batu Kawan dan Bayan Baru antara Gerakan dan MCA.
"Banyak yang bertanya kepada saya semalam mengenai pertukaran dengan MCA dan Gerakan untuk kerusi Batu Kawan dan Bayan Baru. Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada pertukaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan enam divisyen MCA Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya cadangan Gerakan Pulau Pinang untuk melakukan pertukaran kerusi Parlimen antara Batu Kawan dan Bayan Baru.
Selain itu berhubung penukaran empat atau lima lagi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri antara Gerakan dan parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri lain, Mah berkata perkara itu masih dalam proses rundingan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Pada pilihan raya umum lepas (PRU13) Gerakan bertanding di 12 kawasan parlimen dan 33 kawasan dewan undangan negeri (DUN). Parti itu menang kerusi Parlimen Simpang Renggam di Johor dan tiga kerusi DUN di Sabah.
Ditanya mengenai calon Gerakan untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, Mah berkata pihaknya telah menghantar senarai nama kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
Calon Gerakan yang bakal bertanding pada PRU14 ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan calon muda.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow pada sidang akhbar sama berkata parti itu akan berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan di negeri ini dan mengambil semula tampuk pemerintahan negeri daripada DAP.
"Bila kami bertanding kami nak menang semua kerusi. Jadi saya nak beritahu kepada calon supaya kita turun bertanding lawan kita hendak menang. Kami bukan nak turun dengan pemikiran kalah, kami turun dengan pemikiran nak menang," katanya.
Pulau Pinang kini di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan apabila DAP menang 19 daripada 40 kerusi DUN dan PKR 10 kerusi. BN memperoleh 10 kerusi manakala satu kerusi lagi diwakili PAS.
-- BERNAMA