Kerajaan Lakukan Transformasi Inklusif, Komprehensif Dengan Pelbagai Kejayaan - Najib
PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Kerajaan benar-benar telah melakukan transformasi Inklusif lagi komprehensif, sehingga menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh kejayaan kepada rakyat dan negara sejak 2009, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menggariskan tujuh kejayaan kerajaan itu dalam ucapan khasnya sempena pengumuman pembubaran Parlimen di Perdana Putra di sini hari ini, perdana menteri berkata antara kejayaan itu adalah menjadi kerajaan yang boleh dipercayai, menepati dan mengotakan janji-janjinya.
"Saya percaya bahawa politik itu bukanlah sekadar menabur janji-janji. Bahkan, lebih utama daripada itu, politik sebenarnya adalah pelaksanaan kata-kata dan keupayaan untuk mengotakan segala janji-janji kepada rakyat," katanya.
Berkongsi pencapaian Akujanji Kerajaan Barisan Nasional, Najib berkata ia telah berjaya menunaikan 99.4 peratus setakat 28 Feb tahun ini (2018).
Najib turut berkongsi mengenai kejayaan dalam memastikan ekonomi Malaysia terus stabil dan berdaya tahan.
Katanya meskipun ketika beliau mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan, ekonomi Malaysia telah menguncup sebanyak negatif 1.5 peratus, namun ia berjaya mengharungi krisis ekonomi dan kewangan dunia dengan baik, teliti serta teratur.
Buktinya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun lepas telah mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, yakni merupakan antara yang tertinggi di dunia.
"Ini sekali gus menyangkal tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa, Malaysia adalah negara yang bakal bankrap," katanya.
Berkongsi kejayaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan, Najib berkata kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat agar setimpal dengan kos sara hidup semasa agar semua masyarakat dapat mempunyai pekerjaan.
Beliau memberikan contoh pelaksanaan Gaji Minimum Kebangsaan yang terkini pada tahun 2016, telah dinaikkan kepada RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata kerajaan juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 2.26 juta peluang pekerjaan baharu, yang semakin menghampiri sasaran 3.3 juta menjelang 2020, kepada rakyat Malaysia.
Malahan, katanya pada 28 Mac lepas (2018), syarikat Aramco, milik kerajaan Arab Saudi telah menyuntik USD7 bilion atau berjumlah hampir RM30 bilion dana pelaburan ke negara ini, yang dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak.
Menyentuh pelaksanaan pembangunan infra-rakyat seperti projek MRT fasa pertama, beliau berkata ia mencipta sejarah apabila berjaya disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan, hingga menjimatkan RM2 bilion.
Kerajaan juga sedang rancak menjayakan projek High Speed Rail atau HSR, yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, serta projek Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol, dengan jarak lebih 2 ribu kilometer di Sabah dan Sarawak, yang sudah pasti akan menjadi pencetus perubahan, selain membuka peluang dan merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi buat masyarakat di sekitarnya, katanya
"Jadi, setelah menyaksikan sekian banyak inisiatif dan projek kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat, mengapa masih ada pihak-pihak yang tidak senang hati dan berterusan mentohmah kita sebagai sebuah negara gagal? Di sudut mana yang dikatakan gagalnya?," soal beliau.
Mengenai kejayaan kerajaan dalam mensejahterakan kehidupan rakyat, Najib berkata sebetulnya kerajaan begitu memahami cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan telah melakukan sekian banyak inisiatif bagi meringankan beban kehidupan mereka.
Antaranya melalui bantuan kepada golongan masyarakat yang memerlukan, khususnya kepada kumpulan B40 seperti BR1M, memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 yang menawarkan harga barang lebih rendah daripada pasaran, UTC dan RTC menawarkan perkhidmatan tujuh hari seminggu, bantuan khas kepada para petani, nelayan, pesawah, pekebun kecil, imam, bilal, tok siak, dan juga para penjawat awam.
Ini tidak termasuk perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan yang hanya mengenakan bayaran kepada rakyat serendah RM1 sahaja.
Bagi kos pendidikan pula, bermula daripada prasekolah hingga ke peringkat menengah, kerajaan telah berikan secara percuma dan untuk Universiti Awam pula, hampir 90 peratus kos pengajiannya ditanggung oleh kerajaan, katanya.
"Dipendekkan, hampir kesemua golongan masyarakat di negara ini, telah benar-benar merasai nikmat dan dasar-dasar yang baik lagi mendatang manfaat kepada rakyat, yang telah diperkenalkan oleh kerajaan masa kini," katanya.
Najib dalam ucapannya turut berkongsi kejayaan kerajaan mengenai pendekatan amalan kerangka Maqasid Syariah.
Beliau berkata sekalipun tidak dinyatakan secara tertulis dalam mana-mana dokumen rasmi negara, namun ternyata pendekatan ke arah berpegang kepada pedoman, roh dan prinsip kerangka tersebut, amat jelas dirasai dalam sebarang pembentukan falsafah dan penggubalan dasar-dasar penting negara.
Sebagai contoh yang sering diutarakan adalah Dasar Wasatiyyah Negara, yakni pendekatan kesederhanaan yang tidak terlalu ekstrem, dengan menolak ideologi Daesh dan IS, serta bukan pula menjurus kepada fahaman yang terlalu longgar dan liberal, sehingga keberkesanannya turut diakui oleh banyak pemimpin serta negara di serata dunia, katanya.
-- BERNAMA