DUN Perlis dibubar esok - Azlan




KANGAR, 6 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man hari ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan dibubar esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 diadakan.

Azlan berkata pembubaran itu telah dimaklumkan dan mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika beliau mengadap baginda kira-kira 2.30 petang tadi.

"DUN akan dibubarkan seperti yang termaktub dalam Perkara 55 (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat esok," katanya pada sidang akhbar di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Turut bersama beliau ketika pengumuman itu dibuat antaranya Speaker DUN, Datuk Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan serta beberapa anggota Exco kerajaan negeri.

Perlis mempunyai tiga Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau. Ketiga-tiga Parlimen itu dikuasai Barisan Nasional (BN).

Daripada 15 kerusi DUN, 13 kerusi dikuasai BN, manakala hanya dua kerusi jatuh ke tangan pembangkang iaitu Sanglang (PAS) dan Indera Kayangan (PKR).

-- BERNAMA