Bubar DUN: MB Johor Mengadap Sultan Ibrahim petang ini




ISKANDAR PUTERI, 6 April (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, petang ini, bagi memohon perkenan baginda supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dapat dibubarkan berkuat kuasa esok.

Mohamed Khaled berkata beliau akan diiringi Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani ke Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, bagi mendapat perkenan Sultan Ibrahim.

"Kita mengadakan mesyuarat exco (Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) hari ini setelah dimaklumkan dalam sidang media oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bahawa Parlimen akan dibubarkan esok.

"(Berdasarkan) kepada maklumat tersebut, maka, pihak Exco Johor bermesyuarat hari ini, kita setuju dan menyahut seruan Perdana Menteri supaya dapat diselaraskan soal pembubaran. Maka, kita setuju untuk mendapatkan perkenan Tuanku (Sultan Johor) supaya DUN Johor juga dapat dikuatkuasakan pembubaran esok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di Kota Iskandar, di sini hari ini, yang turut dihadiri kesemua sembilan exco kerajaan Johor.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Johor yang memberikan sokongan kepada kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun ini.

"Saya mengambil kesempatan bagi pihak semua Yang Berhormat Exco untuk mengucapkan berbanyak terima kasih khususnya kepada rakyat Johor yang memberi sokongan kepada kami sehingga dapat melakar perancangan dan menjayakan, merealisasikan segala perancangan dan juga keperluan dan kehendak masyarakat dan rakyat Johor sepanjang menerajui kerajaan negeri.

"Kami berharap rakyat supaya dapat memberikan peluang kepada kami supaya dapat terus menerajui kerajaan Johor," katanya.

Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 38 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Walaupun mencapai kemenangan majoriti dua pertiga, buat pertama kali kubu kuat BN ini hilang 18 kerusi DUN berbanding enam pada pilihan raya umum 2008.

DAP menguasai 13 kerusi DUN, PAS (empat) manakala PKR (satu). Bagaimanapun, komposisi DUN bertukar dengan BN kehilangan satu kerusi iaitu DUN Jorak apabila penyandang kerusi itu Datuk Dr Shahruddin Md Salleh menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sementara itu, Aminolhuda Hassan daripada PAS yang memenangi kerusi DUN Parit Yaani beralih kepada Parti Amanah Negara akibat krisis dalaman PAS.

Komposisi DUN Johor kini menyaksikan BN memegang 37 kerusi, DAP (13), PAS (tiga) kerusi manakala PPBM, Amanah dan PKR masing-masing dengan satu kerusi.



-- BERNAMA