Lanskap politik baharu warna PRU14

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bakal mencorakkan senario yang luar biasa menerusi pelbagai prospek yang memaparkan persaingan antara UMNO dan bekas anggota UMNO pada kertas undi, kata seorang pemerhati politik.
Profesor Dr Faridah Ibrahim berkata kehadiran bekas pemimpin utama UMNO seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyaksikan pertembungan hebat menentang barisan calon Barisan Nasional (BN) terutamanya daripada UMNO.
Pensyarah dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur itu berkata calon yang mampu memberi jawapan yang diyakini kepada pengundi, akan menguasai PRU14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi berikutan pembubaran parlimen yang diumumkan di Putrajaya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkuat kuasa hari ini.
"Ia akan menjadi sangat menarik kerana terlalu banyak isu yang memerlukan jawapan atau penjelasan oleh pihak berkaitan. Rakyat hanya menantikan jawapan. Hujah-hujah yang kukuh, padat dan boleh dipercayai mampu mempengaruhi undi," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata media baharu akan menjadi sangat popular dalam usaha mendekati masyarakat dan dengan platform seperti Facebook, Instagram, Twitter dan blog, mesej akan dapat disampaikan secara terus kepada pengundi.
Dalam pada itu, Profesor Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat cabaran getir dan agresif yang dijangka dibawa pembangkang yang kononnya mahu membawa 'tsunami Melayu' pada PRU kali ini, pasti akan menguji kekuatan dan kesepaduan BN.
Bagi menangani keadaan itu, beliau berkata BN perlu menumpukan kepada strategi dan kaedah yang lebih berkesan untuk berhadapan lawan.
"Keupayaan menambah kerusi bergantung kepada keberkesanan menangani persepsi negatif yang dibawa pihak lawan, pemilihan calon yang sesuai dan menghindari perpecahan atau perbuatan khianati parti sendiri.
"Inilah perkara yang perlu dinilai ketika ini kerana walaupun dasar parti dan kerajaan yang menjurus kepada pengundi luar bandar mendapat sokongan, namun keupayaan memenangi pengundi bandar akan lebih teruji," katanya sambil menambah BN tidak boleh bergantung kepada kelemahan lawan semata-mata.
Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat BN perlu mendapatkan semula mandat rakyat untuk mentadbir negara bagi meneruskan pelbagai dasar dan polisi serta pembangunan yang berkepentingan rakyat.
Pensyarah kanan di USM itu berkata pelbagai kemudahan infrastruktur misalnya masih dalam peringkat perancangan atau pembinaan seperti transit aliran massa (MRT), projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rel berkelajuan tinggi (HSR) yang mungkin terjejas jika mandat rakyat dialihkan kepada pihak lain.
"Jika dilihat mungkin BN sendiri pun ada perkara dalam manifesto dahulu yang sedikit sebanyak belum terlaksana sepenuhnya kerana sesuatu perkara itu mungkin tidak boleh disiapkan hanya dalam tempoh lima tahun, terutama projek-projek besar.
"Justeru peluang BN pada PRU ini mungkin ditentukan oleh apa yang telah dan akan mereka laksanakan berbanding pembangkang yang hanya menawarkan janji tanpa rekod prestasi seperti BN," katanya.
-- BERNAMA