SPR Kelantan guna helikopter di kawasan Gua Musang ketika PRU14




KOTA BHARU, 7 April (Bernama) -- Perkhidmatan helikopter bakal digunakan di negeri ini bagi mengendalikan proses Pilihan raya Umum Ke 14 (PRU14) khususnya di beberapa kawasan pedalaman di Gua Musang, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Fakhrul Razi Ab Wahab.

Beliau berkata setakat ini SPR negeri akan menggunakan perkhidmatan helikopter untuk membantu petugas di enam daerah mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Galas dan Nenggiri.

"SPR Kelantan telah melantik seramai 18,425 petugas bagi mengendalikan proses PRU14 di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Program Simulasi Petugas Pilihan Raya di Bilik Gerakan PRU14 SPR di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Fakhrul Razi berkata petugas SPR akan ditempatkan di 558 pusat pengundian termasuk 36 pusat pengundian awal di negeri ini.

"Mereka akan bertugas bagi memastikan kelancaran perjalanan PRU14 di 14 kawasan Parlimen dan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN)."

"Pihak kami telah membuat segala persediaan untuk menghadapi PRU14 dan hari ini kami mengadakan simulasi ulangan untuk sistem penamaan calon dan sistem penjumlahan rasmi undi," katanya.

-- BERNAMA