Rakyat Sabah mahu BN terus memerintah kerajaan akan datang




KOTA KINABALU, 7 April (Bernama) -- Rakyat Sabah mahu kerajaan sedia ada terus memerintah kerana banyak pembaharuan dan pembangunan mampan dibawa ke negeri ini selain turut menitikberatkan keperluan serta kebajikan rakyat selama tempoh lima tahun selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas.

Rata-rata rakyat Sabah yang ditemui berpendapat kerajaan sedia ada ditunjangi Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik kerana mereka sentiasa optimis dan komited merealisasikan aspirasi rakyat sama ada dalam bentuk bantuan terus atau pembangunan secara berperingkat.

Seorang kakitangan awam Roslinah Diwa, 37, dari Sandakan berkata kerajaan sedia ada sudah banyak berusaha memberi keselesaan dan memastikan kesejahteraan rakyat khususnya di Sabah terjamin.

Sehubungan itu, Roslinah berkata, kerajaan sedia ada ini perlu terus dikekalkan pada PRU14 akan datang untuk menerajui pentadbiran negara dan negeri Sabah sekali gus meneruskan kelangsungan pembangunan serta kemajuan dikecapi kini.

"Bagaimanapun, penambahbaikkan perlu sentiasa dilakukan termasuk memperkenal mekanisme terbaik untuk menangani mana-mana kekurangan seterusnya memastikan aspirasi rakyat dipenuhi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang ingin dikenali sebagai Xavier, 39, dari Putatan berkata hanya parti berpengalaman seperti BN mampu menerajui pentadbiran kerajaan sekali gus memenuhi permintaan rakyat yang sentiasa dinamik dan berubah mengikut peredaran semasa.

Beliau berkata sejak BN menerajui kerajaan, kemampuan mereka terserlah apabila dapat menunaikan majoriti permintaan rakyat terutama di Sabah termasuk usaha menaik taraf bekalan asas di luar bandar dan menyediakan infrastruktur perhubungan jalan raya yang dapat melonjakkan lagi potensi pembangunan di sesebuah kawasan.

"BN sebagai kerajaan juga berupaya berfikir di luar kotak apabila membina sesuatu prasarana atau inisiatif yang lebih daripada permintaan rakyat."

"Di Sabah contohnya, kerajaan tidak hanya membina Lebuhraya Pan Borneo tetapi turut membina jalan menghubungkan satu pekan dengan pekan lain yang jelas memberi nilai tambah dan melonjakkan lagi ekonomi penduduk," katanya.

Pandangan sama diberikan kakitangan swasta Mariani Ahmad, 32, dari Tawau, yang berkata kerajaan sedia ada mempunyai banyak pengalaman bukan sahaja dalam menunaikan janji kepada rakyat tetapi juga mengurus tadbir negara dan menghadapi cabaran dalam prospek lebih besar.

"Saya juga berharap kerajaan sedia ada boleh terus memerintah dan memberi fokus utama kepada pembangunan di kawasan pedalaman," katanya, yang turut mengakui komitmen penuh kerajaan membawa pembangunan di Sabah.

Mariani yang akan mengundi buat kali kedua pada pilihan raya kali ini turut berharap suara, idea dan pandangan anak muda diambil perhatian oleh kerajaan akan datang bagi merealisasikan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam pada itu, Siti Zuraidah Sadi, 39, dari Kota Kinabalu pula berkata kerajaan akan datang perlu meneliti keperluan rakyat dari semasa ke semasa berikutan peningkatan kos sara hidup masa kini.

"Kerajaan yang memerintah kelak perlu melihat prasarana yang dapat membantu rakyat berpendapatan rendah dan bagaimana rakyat dapat memiliki rumah sendiri sebagai aset," katanya.

Parlimen dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRU14. Pembubaran itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Susulan pembubaran itu, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman turut mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan pilihan raya diadakan secara serentak.

-- BERNAMA