PRM umum nama 15 calon bagi Parlimen, DUN Selangor




KLANG, 7 April (Bernama) -- Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini mengumumkan senarai calon bagi 15 daripada sejumlah 20 kawasan pilihan raya yang bakal ditandingi parti itu di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Ariffin Salimon berkata parti itu akan bertanding di lima kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Katanya, mereka yang disenaraikan sebagai calon Parlimen adalah Dennis Wan Jinn Woei (Bangi), Setiausaha PRM Selangor Jenice Lee Ying Ha (Pandan), Santokh Singh (Klang) dan S. Manikavasagam (Kapar).

"Bagi kerusi DUN pula, nama yang disenaraikan adalah Dennis Wan bagi kerusi Kajang, Jenice Lee (Teratai), Santokh Singh (Bandar Baru Klang), Manikavasagam (Selat Klang), Ti Thong Siew (Sementa), N. Gandhi (Meru) dan Tan Choon Swee (Banting)."

"Turut disenaraikan M. Telai Amblam (Sentosa), Norizwan Mohamed (Pandan Indah), Hanafiah Husin (Sungai Kandis) dan Mohammad Salleh Karman (Bukit Melawati)," katanya dalam sidang media selepas perasmian pejabat PRM di Kapar di sini hari ini.

Ariffin bagaimanapun berkata pihaknya akan mengumumkan calon kerusi DUN Taman Templer, Kuang, Rawang dan Sungai Tua berserta Parlimen Selayang selepas DUN Selangor dijadual dibubarkan Isnin ini bagi memberi laluan kepada PRU14.

Katanya, selain Selangor, PRM akan turut meletakkan calon di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah untuk PRU14.

Dalam pada itu, Manikavasagam yang mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu surat bertarikh 3 April lepas kepada ibu pejabat parti, berkata pihaknya gembira kerana dapat kembali ke pangkuan PRM iaitu parti asal beliau ketika memulakan karier politiknya pada 1999.

Beliau juga berkata pemimpin PRM membantah strategi Pakatan Harapan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

-- BERNAMA