Veteran UMNO Kelantan lancar slogan 'Keluargaku Pengundi BN'
PASIR MAS, 7 April (Bernama) -- Program 'Keluargaku Pengundi Barisan Nasional (BN)' hasil cetusan veteran UMNO Kelantan dilihat amat bertepatan dalam usaha BN menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat berkata program yang dilancarkan itu bertujuan supaya golongan veteran UMNO mengajak anak cucu mereka yang layak supaya turut sama mengundi BN pada pilihan raya tersebut.
"Golongan veteran ini sudah pasti mempunyai ramai anak beranak termasuk cucu atau cicit dan kita akan pastikan mereka kekal sebagai pengundi BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen slogan dan poster 'Keluargaku Pengundi BN' di di sini, hari ini.
Hanafi berharap seluruh veteran UMNO dapat memberi kesedaran kepada keluarga masing-masing betapa pentingnya mereka bersatu di bawah payung BN yang pastinya akan menguatkan UMNO dan BN dalam menghadapi PRU14.
Beliau berkata pihaknya memerlukan dan menghargai penglibatan anggota veteran kerana mereka mempunyai pengaruh dan banyak jasa kepada masyarakat sekali gus dapat menarik pengundi menyokong calon BN.
"Kita meminta veteran UMNO Kelantan mengadakan pelbagai program bagi mendekati masyarakat kerana mereka merupakan kekuatan parti bagi menyebarkan pengaruh dan kepercayaan masyarakat kepada perjuangan parti," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak berkata lebih 30,000 anggota veteran UMNO Kelantan kini bersedia untuk membantu jentera BN memenangi pilihan raya tersebut.
-- BERNAMA