Kenyataan Pengerusi SPR bagi persiapan menghadapi PRU14

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Berikut adalah kenyataan akhbar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bersempena Simulasi Bilik Gerakan SPR sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di ibu pejabat SPR di sini hari ini.
PERSEDIAAN PRU14.
Pada hari ini SPR telah mengadakan simulasi bagi menguji sistem penerimaan dan penghantaran maklumat berkaitan proses Penamaan Calon dan Hari Mengundi.
Simulasi ini dijalankan serentak di seluruh negara melibatkan semua bilik gerakan di pejabat-pejabat pilihan raya negeri.
Simulasi ini bertujuan mengenalpasti semua masalah dan menyediakan pelan kontigensi.
Semasa pengujian tadi, semua sistem telah berfungsi dengan baik dan proses penerimaan serta penghantaran maklumat PRU14 adalah lancar.
Dari segi persiapan lain semuanya dalam 100 peratus bersedia termasuk logistik, dakwat pilihan raya dan petugas.
Pada kali ini, urusan PRU14 akan dikendalikan oleh lebih 250,000 petugas pilihan raya yang terdiri daripada orang awam yang dilantik dan dijangka turut dibantu oleh lebih 200,000 agen-agen calon dan parti yang bertanding.
Pilihan raya ini adalah untuk menentukan masa depan rakyat dan negara, justeru itu proses PRU14 ini akan dikendalikan sendiri oleh rakyat.
SPR berharap semua pihak mengambil peluang sebaiknya untuk memastikan ketelusan dan kesaksamaan pilihan raya ini.
Pada 6 April 2018, SPR telah menerima sesalinan perisytiharan pembubaran Parlimen Yang Ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan surat pemakluman rasmi daripadaYang Dipertua Dewan Rakyat, mengenai Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-13 berkuat kuasa pada hari ini, Sabtu, 7 April 2018.
Namun begitu sehingga kini SPR masih lagi belum menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN Negeri-Negeri.
Setelah menerimanya barulah kita akan menetapkkan tarikh untuk mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting seperti:
Tarikh Writ dan Notis Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.
Mesyuarat Khas SPR berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum Ke-14 akan diadakan di sini (Menara SPR) namun tarikh belum ditentukan lagi sehingga kita menerima semua pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Negeri masing-masing.
Sehingga 6 April 2018, jumlah permohonan undi pos yang diterima adalah seperti berikut:
Bagi kategori Pengundi Pos Luar Negara yang memohon melalui Borang 1B jumlah diterima adalah 4,916 permohonan.
Lima negara permohonan terbanyak adalah United Kingdom iaitu 1,183 permohonan, Australia (1,043), Amerika Syarikat (367), China (202) dan Taiwan (301).
Permohonan Undi Pos Luar Negara akan ditutup pada hari ini, 7 April 2018, jam 11.59 malam ini waktu Malaysia. Semua permohonan selepas hari ini tidak akan diproses lagi.
Bagi UNDI POS DALAM NEGARA, kategori permohonan (sehingga ini) menggunakan Borang 1C adalah sebanyak 39,775 permohonan.
Jumlah keseluruhan pengundi pos akan diketahui setelah permohonan ditutup bagi kesemua kategori permohonan iaitu pada Hari Penamaan Calon.
Saya juga ingin tegaskan mengenai kenyataan saya yang dipetik daripada laporan NST (The New Straits Times) dan diputar belitkan oleh pihak tertentu kononnya saya mengiyakan bahawa Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Negeri-Negeri Tanah Melayu dibuat berdasarkan polarisasi kaum.
Apa yang dimaksudkan adalah contoh mengenai prinsip Hubungan Tempatan antara etnik minoriti di Sarawak yang tidak wajar dipisahkan dan diberi perhatian oleh SPR dalam mempertimbangkan syor persempadanan semula di Sarawak sebelum ini.
Apa yang dikatakan itu hanya berkaitan etnik-etnik di Sarawak bukannya merujuk kepada kaum seperti mana yang dinyatakan. Keadaan di Sarawak dan di Tanah Melayu adalah berbeza.
Saya berharap pihak-pihak berkaitan hentikanlah memutar belitkan fakta untuk mengelirukan rakyat serta mencipta persepsi negatif..
Persempadanan Semula dibuat untuk kemudahan pengundi dan wakil rakyat berkhidmat kepada pengundi mereka.
-- BERNAMA