Rakyat Kelantan kerugian besar jika batal ECRL - Awang Adek

BACHOK, 7 April (Bernama) -- Rakyat Kelantan akan kerugian besar jika projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang-Pahang-Terengganu dan Kelantan dibatalkan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata rakyat Kelantan memerlukan perkhidmatan pengangkutan yang cekap selain untuk menarik pelaburan dan menggalakkan industri pelancongan di negeri itu.
"Pengangkutan menerusi laluan darat sedia ada mengambil masa dan kos pengangkutan yang tinggi untuk mengeksport barangan melalui Pelabuhan Klang," katanya kepada pemberita pada Program Kementerian Kewangan Bersama Rakyat di Kampung Kolam di sini, hari ini.
Dalam satu program di Putrajaya baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak menolak kemungkinan pakatan itu akan menghentikan projek ECRL sekiranya menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan menyifatkannya satu pembaziran.
Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata isu perkhidmatan pengangkutan merupakan antara faktor Kelantan gagal menarik pelaburan berbanding negeri-negeri lain.
"Menerusi ECRL selain kos tambangnya lebih murah dan ia cuma mangambil masa empat jam sahaja perjalanan dari Kelantan ke Pelabuhan Klang, perkhidmatan yang cekap dan pantas ini juga terdapat di negara-negara maju," katanya.
Selain itu, beliau berharap rakyat akan memberi mandat kepada Barisan Nasional pada PRU14 untuk kembali mentadbir Kelantan supaya pelbagai sumber di negeri ini dapat dimajukan.
Awang Adek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Draf Manifesto BN Kelantan berkata manifesto itu sedang dimuktamadkan.
"Antara lain manifesto itu mengandungi tawaran peluang pekerjaan, perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan secara keseluruhannya merangkumi projek-projek berasaskan kepentingan dunia dan akhiarat," katanya.
-- BERNAMA