BN sedia rampas kerusi parlimen Sarikei




SARIKEI, 7 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sarikei kini sudah bersedia untuk merampas semula kerusi parlimen P208 Sarikei daripada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Seorang calon berpotensi dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang disebut-sebut mewakili BN di kerusi tersebut, Teng Ung Woo berkata, jentera pilihan raya akan diaktifkan secara lebih intensif lagi sebaik sahaja pengumuman rasmi senarai calon BN Sarawak dibuat.

Jentera itu nanti selain disertai anggota SUPP, akan turut disertai anggota parti-parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan SUPP untuk membawa penyatuan masyarakat Cina Sarawak turut dipelawa menyertai jentera tersebut.

"(Sekarang) BN bersedia rampas semula kerusi P208 Sarikei dan saya yakin BN mampu berbuat demikian," katanya kepada Bernama ketika dihubungi untuk mengulas persiapan jentera pilihan raya BN di kawasan itu apabila pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, BN telah berjaya merampas dua kerusi daripada DAP iaitu kerusi Repok dan Meradong yang terletak dalam kawasan parlimen Sarikei dan ini adalah indikator yang baik untuk BN.

Sarikei merupakan salah satu daripada lima kerusi dimenangi DAP Sarawak apabila menewaskan calon daripada SUPP pada PRU13.

Calon DAP, Wong Ling Biu memenangi kerusi Sarikei pada PRU13 selepas menewaskan calon BN-SUPP Ding Kuong Hiing dengan majoriti sebanyak 505 undi.

Selain Sarikei, kerusi lain yang dimenangi DAP ialah Bandar Kuching, Stampin, Sibu dan Lanang manakala satu lagi kerusi iaitu parlimen Miri dirampas dari tangan BN oleh Parti Keadilan Rakyat.

Ditanya tentang program turun padang bagi mendekati rakyat di kerusi P208 Sarikei yang dilakukan oleh beliau sejak beberapa tahun lalu Teng berkata, ia akan sentiasa diteruskan.

Mengenai isu-isu yang akan dimainkan DAP untuk memancing undi beliau berkata, kebanyakannya adalah isu-isu nasional yang dikitar semula seperti 1MDB, GST, kenaikan harga barangan dan gejala rasuah.

Katanya, isu-isu seumpama itu tidak releven di P208 Sarikei kerana kerajaan sedang melakukan banyak projek pembangunan di kawasan berkenaan sejak BN mewakili kerusi Repok dan Meradong.

Beliau berkata, rakyat masih lagi dahagakan pembangunan dan hanya wakil rakyat BN boleh membawa pembangunan yang diperlukan rakyat.

-- BERNAMA