Manifesto BN atur manfaat untuk komuniti Felda

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Warga Felda terus mendapat perhatian Barisan Nasional (BN) apabila manifestonya untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menjanjikan antara lain pemberian insentif khas RM5,000 kepada setiap peneroka Felda.
Manifesto bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku' yang dilancarkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menjanjikan pelupusan hutang pembelian saham FGV peneroka-peneroka Felda.
BN juga membuat tawaran mewujudkan geran khas bagi tujuan penanaman semula oleh peneroka Felda selain melupuskan hutang penanaman semula serta hutang tambahan peneroka Felda semasa proses penanaman semula.
Janji-janji lain yang digariskan BN untuk manfaat warga Felda dalam manifesto itu ialah:
- Membina lebih banyak rumah komuniti Felda.
- Menaik taraf 422 km jalan dalam kawasan Felda.
- Menambah lampu jalan di kawasan penempatan Felda.
- Menaik taraf 419 km sistem pembetungan di kawasan Felda.
- Menambah tanda, garisan dan lampu jalan di kawasan Felda meliputi 1,240 km.
- Mewujudkan khidmat pusat sehenti yang menempatkan pusat jagaan kanak-kanak dan pusat usahawan untuk peneroka Felda di bawah kelolaan Gabungan Penerokawati Felda Malaysia di semua petempatan Felda.
-- BERNAMA