Manifesto BN penuhi kehendak, aspirasi rakyat - PM Najib





KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menggariskan 364 inisiatif adalah satu dokumen komprehensif dengan agenda sangat jelas yang mampu dilaksanakan, memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan manifesto setebal 220 muka surat itu menjanjikan program-program menghebatkan Malaysia yang akan membawa negara bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang mengalami lonjakan tinggi.

"Jika kita imbas sejak pilihan raya umum pada 1955 kita telah membentangkan dan mensajikan manifesto demi manifesto, sehinggalah kini masuk 14 kali.




"Bagi parti BN, kita tidak anggap ini sebagai suatu yang kita pandang mudah, sebagai satu dokumen yang kita rakamkan secara bertulis semata-mata tapi kita anggap ini sebagai akujanji kita pada rakyat, suatu dokumen yang kita pandang sangat berat dan inilah ikrar janji dan sumpah kita bahawa segalanya dalam Manifesto BN. kita akan laksanakan sepenuhnya," katanya ketika berucap melancarkan Manifesto BN di hadapan lautan biru penyokong parti BN di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berkapasiti 12,000 orang malam ini.

Selain ribuan penyokong BN lain yang berada di luar stadium, ucapan pelancaran manifesto selama lebih sejam itu turut disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan dan laman Facebook rasmi Najib.

Manifesto PRU14 bertemakan "Bersama BN Hebatkan Negaraku" menawarkan 14 teras iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal.

Perdana Menteri berkata manifesto itu menawarkan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, darjat dan warna kulit untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik sehingga ke anak cucu.

"Pilihan raya umum ini bukan Najib Razak lawan ketua pembangkang, bukan BN lawan pembangkang, soal pokoknya adalah penentuan bahawa mana satu pihak yang akan dapat menentukan bahawa setiap rakyat Malaysia akan mengecapi kehidupan lebih baik, bahawa keluarga dan anak-anak serta cucu kita akan mengecapi masa depan yang jauh lebih baik, sebab itu saya ingin tegaskan bahawa BN akan terus memperjuangkan untung nasib setiap rakyat," katanya.

Najib berkata rakyat perlu membuat pilihan yang bijak dengan memilih parti berpengalaman luas, rekod pencapaian yang terbukti cemerlang, diuji dengan pelbagai rintangan serta mempunyai misi dan perancangan jelas berbanding parti yang memberikan formula yang membawa bencana menerusi manifesto mereka.

"Jangan kita menyesal, jangan kita bangun keesokannya dan mendapati Malaysia bukan seperti yang kita kenal. Kita tidak mahu anak cucu keturunan kita kelak akan mencerca dan menghukum kita," katanya.

Najib, yang berada di atas pentas bersama-sama 13 pemimpin parti komponen BN, berikrar dan berjanji akan membangunkan negara dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak supaya tiada satu pun kawasan atau rakyat yang akan ketinggalan.

Beliau turut mengumumkan inisiatif-inisiatif di peringkat nasional dan negeri selain membuat pengumuman istimewa kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah daripada RM1,200 kepada RM2,000; isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 (daripada RM900 kepada RM1,500) serta individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah (daripada RM450 kepada RM600).

Najib turut mengumumkan dua kategori baharu penerima BR1M bagi isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang akan mendapat RM700 serta bantuan sekali beri RM1,500 kepada anak-anak penerima BR1M yang berjaya mendaftar di pusat pengajian tinggi.

Menarik perhatian, perdana menteri berkata manifesto BN meletakkan komitmen memperkasa wanita yang dianggap tulang belakang kepada keluarga; memperhebatkan program perumahan melalui kewujudan Agensi Perumahan Negara; mencipta tiga juta peluang pekerjaan baharu berbanding sejuta menerusi manifesto Pakatan Harapan; memberi keutamaan kepentingan asas infra rakyat dan pengangkutan futuristik serta memperkasa penggunaan teknologi digital melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Selain itu, beliau berkata manifesto itu juga memberi keutamaan dan sokongan kepada barangan perusahaan buatan Malaysia; mengutamakan ekonomi kehidupan rakyat termasuk menubuhkan Suruhanjaya Keadilan Kerja untuk menentukan paras gaji pekerja sektor swasta lebih setimpal; memastikan sistem pendidikan sesuai dengan masa depan untuk Revolusi Industri 4.0; berazam membina kehidupan lebih sihat dan berkualiti untuk rakyat serta menjamin keselamatan rakyat daripada ideologi ekstremisme dan jenayah.

Manifesto itu, katanya, turut menekankan generasi pewaris Transformasi Nasional 2050 untuk mendapat peluang pekerjaan atau latihan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian serta memperkenalkan polisi penjagaan kanak-kanak universal merangkumi soal nutrisi, pusat jagaan kanak-kanak, polisi penjagaan kanak-kanak profesional dan 'neighbourhood watch' atau 'ombudsman' selain meneruskan agenda pemerkasaan bumiputera sebagai agenda nasional dan memperteguh kesyumulan syiar Islam di Malaysia.

Najib mengakhiri ucapannya dengan doa memohon dijauhkan sebarang mala petaka menimpa Malaysia dan perjuangan parti BN terus diberkati demi mempertahankan masa depan tanah air daripada ancaman pendusta dan pelelong bangsa, yang diaminkan oleh para hadirin.

Perdana menteri kemudian turut membacakan ikrar sumpah janji BN agar tidak lalai dan leka, memperbaiki kelemahan lalu dan berjuang habis-habisan memperjuangkan Malaysia, jika diberikan peluang dan mandat oleh rakyat pada PRU14 untuk terus mentadbir negara.

-- BERNAMA