Manifesto papar komitmen berterusan BN sejahterakan hidup rakyat

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sahaja membuktikan komitmen berterusan parti itu dalam mensejahterakan setiap lapisan masyarakat, bahkan disulami dengan tumpuan ke arah menangani isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Rata-rata melihat manifesto yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini sebagai panduan gerak kerja lima tahun yang cukup tersusun bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran Malaysia terus dinikmati semua lapisan masyarakat.
Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata intipati manifesto BN selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang merangka pelbagai strategi dalam mendepani masalah kos sara hidup rakyat, isu yang dilihat paling menjejaskan kehidupan rakyat pada masa ini.
Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau Datuk Dr Awaludin Said pula berpendapat manifesto kali ini amat baik kerana ia merangkumi semua kaum dan agama, yang lebih memfokuskan kepada apa yang perlu dibuat untuk Malaysia mencapai negara maju di masa hadapan.
Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Datuk David Choong Vee Hing berkata manifesto itu tepat pada masanya dalam mempastikan rakyat hidup sejahtera dan dalam masa sama memastikan pembangunan negara diteruskan.
"Manifesto ini merangkumi semua aspek dan telah memberi hala tuju kepada negara. Ia ibarat kita nampak cahaya di hujung terowong yang gelap. Saya dan semua rakyat berharap agar kerajaan di bawah pimpinan BN akan melaksanakan semua janji dalam manifesto itu untuk tempoh lima tahun lagi," katanya.
Sementara itu, di IPOH, pengumuman perdana menteri untuk mewujudkan sebuah lapangan terbang baharu di Seri Iskandar disambut gembira rakyat negeri itu memandangkan ia bakal memberi manfaat dari segi peluang pekerjaan serta perkembangan ekonomi di daerah Perak Tengah itu.
Peniaga Musthpar Ab Aziz, 57, dari Manjung berkata sudah pasti tawaran manifesto itu disambut baik bagi menzahirkan suatu komitmen dan kesungguhan kerajaan pusat untuk membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang telah didengari sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Peluang pekerjaan sudah pasti akan ada dan ekonomi setempat akan meningkat. Jadi saya berharap sangat projek itu akan dapat direalisasikan jika BN terus diberi mandat selepas PRU-14 nanti," katanya.
Sementara itu, di KOTA BHARU, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Kota Bharu yang dijanji dipercepatkan pembinaannya dalam pelancaran manifesto itu disambut baik rakyat Kelantan.
Di ALOR SETAR, penubuhan Zon Ekonomi Khas di Bukit Kayu Hitam yang terkandung dalam manifesto BN menunjukkan kerajaan memberi fokus untuk membangunkan kawasan yang selama ini dianggap terlepas pandang oleh sesetengah pihak.
Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, selain mampu menjadikan Kedah lebih berdaya saing dalam pembangunan ekonominya, inisiatif itu juga mampu mewujudkan perkongsian pembangunan sempadan dengan selatan Thailand.
Di KUANTAN, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata manifesto BN jelas menunjukkan ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh sehinggga mampu menawarkan pelbagai insentif untuk rakyat.
Menurut beliau, pengumuman penambahan sekali ganda pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi bulan Jun dan Ogos tahun ini, antara bukti jelas tentang perkara itu.
-- BERNAMA