Senario politik di Sarawak tenang, BN yakin menang besar





Oleh Robert Kenneth Henry

KUCHING, 8 April (Bernama) -- Segala-galanya berjalan lancar bagi Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (GE14), yang akan berlangsung pada bila-bila masa ekoran pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Senario semasa politik menampakkan keyakinan yang sangat tinggi dalam kem BN Sarawak sehingga mendorong Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang juga pengerusi BN negeri untuk mengumumkan bahawa BN Sarawak akan sekurang-kurangnya mengekalkan kesemua 25 kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya lepas.

Malahan ketua menteri dengan berani mengatakan bahawa disamping mengekalkan kesemua 25 kerusi itu BN juga akan merampas kembali antara dua hingga tiga lagi kerusi kawasan bandar yang direbut oleh pembangkang dalam pilihan raya ke-13 yang lalu.

Buat masa sekarang enam kerusi parlimen kawasan bandar di negeri itu yang majoriti pengundi terdiri daripada kaum Cina berada dalam kem pembangkang di mana lima di wakili oleh DAP iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu dan Lanang manakala MIri di menangi PKR.

Sungguh parlimen telah dibubarkan keadaan di Sarawak masih tenang di mana kalangan pembangkang tidak berebut kerusi secara terbuka seperti yang pernah mereka lakukan dalam pilihan raya lepas kecuali parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihannya Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang berebut tujuh kerusi parlimen.

Abang Johari telah mengatakan bahawa BN boleh merebut kembali keenam-enam kerusi yang dirampas oleh pembangkang sekiranya SUPP dan UPP dapat menyelesaikan perselisihan antara mereka dan kembali bersatu secara efektif.

Kearah itu, kedua-dua parti berkenaan, dengan disaksikan oleh Abang Johari baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama sesama mereka.

Ketua Menteri juga telah berkali-kali mengingatkan pengundi di Sarawak supaya menyokong Najib dan mengundi BN dalam pilihan raya akan datang dengan menyifatkan Najib sebagai perdana menteri pilihan kerana keperihatinan beliau terhadap isu membabitkan Sarawak dan Sabah berbanding perdana menteri sebelumnya.

Beliau juga mengulangi bahawa pengundi Sarawak harus menolak Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kerana tidak mengambil berat terhadap perkongsian kuasa dan hak autonomi ketika beliau sedang berkuasa dulu.

Abang Johari berkata Najib sanggup mendengar dan menyetujui permintaan pemimpin Sarawak berkenaan dengan perjanjian Malaysia 1963.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata sikap terbuka Najib merupakan dorongan bagi pengundi di Sarawak untuk terus setia kepada BN sekurang-kurangnya dalam PRU14.

Jeniri berkata rakyat Sarawak terutamanya pengundi Bumiputera menghargai cara perdana menteri melayani Sarawak dengan kerap datang dan berusaha secara serius untuk membawa lebih banyak pembangunan infrastruktur serta ekonomi ke negeri itu.

Beliau menambah pengundi Sarawak lebih mengambil berat terhadap isu berkaitan kehidupan mereka serta anak-anak serta bantuan kerajaan berbanding isu derma RM2.6 bilion atau 1MDB.

"Berdasarkan dapatan kami, 60% pengundi di Sarawak menyokong kepimpinan perdana menteri sungguhpun pelbagai tohmahan dilemparkan ke atas beliau," kata Jeniri ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata keupayaan mengotakan janji-janji seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan senjata ampuh dalam memenangi hati rakyat Sarawak

Sebagai penganalisa politik Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata keupayaan DAP menarik sokongan di kawasan bandar berpunca daripada konflik antara kedu-dua parti (SUPP dan UPP) ketika itu dan beliau berpendapat perlu dicari jalan penyelesaian efektif bagi menangani perbezaan pandapat itu sebelum hari penamaan calon.

"Saya percaya kerusi kawasan bandar seperti Sibu dan Sarikei yang dimenangi oleh DAP dalam pilihan raya lepas mampu dirampas kembali oleh BN sekiranya kedua-dua parti bertelingkah (SUPP dan UPP) itu dapat mencapai konsensus," katanya.

Jeniri berkata BN negeri seharusnya mencari formula tepat bagi meleraikan konflik kedua-dua parti yang sudah berlarutan semenjak 2012.

Sesungguhnya, tambah beliau pihak pembangkang telah mencapai tahap tepu di enam kawasan parlimen majoriti China yang mereka kuasai dalam PRU13 iaitu Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu and Miri.

"DAP khususnya tidak lagi dapat menembusi kawasan luar bandar dan mungkin kehilangan Sarikei dan Sibu dalam PRU14 nanti berdasarkan keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2016 dan mereka tidak mempunyai kekuatan yang signifikan serta pengaruh di kawasan luar bandar yang merupakan kubu kuat BN," katanya.

Sementara itu kerusi parlimen di luar bandar juga mempunyai cabaran tersendiri kepada BN yang lebih merupakan soal pemilihan calon yang tepat.

"Sebagai contoh kerusi parlimen Selangau akan mudah goyah sekiranya penyandang (Datuk Joseph Entulu Belaun) tidak dicalonkan semula bagi kerusi itu.? kata Jeniri

"Tetapi saya yakin BN akan mendominasi kerusi di luar bandar kerana majoriti rakyat mengharapkan kepada BN untuk membawa masuk pembangunan," tambah beliau.

--BERNAMA