Rakyat mahu BN terus terajui Kedah

ALOR SETAR, 8 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu terus menerajui kerajaan Kedah demi memastikan kelangsungan dan kebajikan hidup rakyat di negeri ini terus dibela pada masa hadapan.
Rata-rata rakyat Kedah yang ditemui berpendapat kerajaan sedia ada perlu terus memerintah selepas berjaya membawa pembangunan dan menjaga keperluan dan kebajikan rakyat selama tempoh lima tahun selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas.
Seorang pekerja am V.Ambalagan, 57, dari Taman Kijang di sini berkata kerajaan sedia ada telah menjalankan tugas dengan baik dengan menjaga keperluan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman demi kesejahteraan bersama.
"BN perlu terus memerintah kerana semua keperluan dan kebajikan rakyat dari golongan muda, warga emas, pekerjaan dan perniagaan diberi perhatian dan sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Kalau parti baharu ambil alih, sukar hendak bangunkan Kedah dalam tempoh lima tahun yang singkat."
"Bagaimanapun, saya harap penambahbaikkan dapat dilakukan terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan muda serta menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang seimbang kepada semua kaum," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Salmah Zainal Abidin, 66, dari Simpang Kuala berkata BN yang berpengalaman dalam mentadbir kerajaan perlu terus memerintah supaya semua pembangunan yang dirancang sebelum ini dapat diteruskan pada PRU14 ini.
"Banyak pembangunan yang yang telah berjaya dibawa dalam tempoh lima tahun sebelum ini jadi BN perlu terus memerintah. Saya akan kecewa kalau pembangkang ambil alih kerana bimbang mereka tidak mampu membawa pembangunan seperti yang dilakukan oleh BN," katanya.
Norfarhana Mohd Amin, 26, peniaga dari Taman Arif Jaya yang akan mengundi buat kali pertama pada pilihan raya ini berkata dia berharap kerajaan sedia ada ini dapat meneruskan skim Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Barakah ini diberikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk termasuk pendidikan di mana kerajaan memberi bantuan kepada golongan yang kurang mampu dan berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi."
"Kerajaan sedia ada juga membantu golongan peniaga dengan mewujudkan program e-Rezeki yang mana membantu rakyat terutamanya golongan muda yang berminat untuk memulakan perniagaan dan menjana pendapatan tambahan dengan menyediakan kelas," katanya.
-- BERNAMA