Manifesto: Penduduk setuju hasrat bina CIQ Kalabakan




Sumber gambar: en wikipedia.my

TAWAU, 8 April (Bernama) -- Janji Barisan Nasional (BN) dalam Manifesto BN untuk membina Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Kalabakan dekat sini, disambut baik penduduk Tawau.

Seorang penduduk Kalabakan, Ahmad Unggam,44, berkata pewujudan CIQ itu bertepatan dan seiring dengan pelaksanaan pusat pemeriksaan darat atau Road Check Point (RCP) di Kalabakan dalam masa terdekat ini oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

"Perkara ini antara lain boleh mengesan awal, sekali gus menghalang kemasukan pelbagai elemen jenayah termasuk penyeludupan atau penyusupan pengganas."

"Gandingan pasukan keselamatan dan penguat kuasa membolehkan pemantauan rapi dilakukan di kawasan sempadan antara Pantai Timur Sabah ke Pedalaman Pantai Barat Sabah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang penduduk Felda Umas, Theresa John, 46, berkata penting untuk BN kekal memerintah negara agar kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan termasuk pewujudan CIQ di sini.

"Dalam memastikan pembangunan berjalan, soal keselamatan juga perlu seiring, biarpun keadaan kita terkawal di Sabah tetapi usaha memperkukuhkan keselamatan perlu sentiasa dilakukan di ESSZone," katanya.

Sementara itu, di LAHAD DATU, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Lahad Datu Tan Chen Teng berkata Manifesto BN yang akan meningkatkan kemampuan kuasa persenjataan pasukan keselamatan di ESSZone itu membuktikan isu keselamatan di Sabah amat penting kepada pemimpin BN.

"Di sebahagian besar ESSZone, terletaknya kawasan pelancongan seperti di Semporna dan peningkatan persenjataan pasukan keselamatan berterusan memberi jaminan kepada pelancong untuk berkunjung," katanya.

Beliau berkata sememangnya, isu keselamatan sangat berhubung rapat dengan peningkatan ekonomi penduduk setempat dan pelancongan negeri.

-- BERNAMA