Manifesto BN dasari keperluan, kehendak rakyat
.jpg)
SEMPORNA, 8 April (Bernama) -- Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Ke-14 ini adalah terbaik dan komprehensif yang akan memberi limpahan besar kepada semua lapisan rakyat di negara ini.
Melihat manifesto itu yang antara lain menggariskan usaha untuk meneruskan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah termasuk Sarawak, Ramlee berkata, aspirasi berkenaan akan memperkukuh serta menguatkan lagi kepercayaan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan terhadap kredibiliti BN.
"Pembinaan lebuh raya ini akan memberi satu limpahan begitu besar kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Bayangkan, jajaran jalan raya yang sebelum ini kita impikan akan terwujud dan tentunya rakyat Sabah dan Sarawak mengharapkan jaringan jalan raya efisien seperti di Semenanjung."
"Saya melihat manifesto ini mendasari keperluan dan kehendak rakyat di seluruh negara dan Semporna tidak terkecuali - sama ada pembangunan dalam skala besar mahupun kecil, penduduk Semporna akan menikmatinya kerana selama ini pun kita sudah merasai limpahan pembangunan dan bantuan kerajaan," katanya.
Dari sudut pendidikan, Ramlee berkata janji BN memulakan projek perintis penubuhan sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Sabah dan Sarawak juga bukti komitmen BN bagi mengupayakan seterusnya memperhebat penguasaan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan rakyat di negeri terbabit.
Sementara itu, seorang penduduk Semporna, Fitri Rohayati Deriyono, 37, dari Kampung Simunul berkata, manifesto BN satu manifesto hebat kerana ia merangkumi semua golongan termasuk keprihatinan parti itu dalam hal-hal berkaitan pembangunan golongan wanita di negara ini.
Muhamad Hasnul Takaddam, 24, dari Kampung Terusan Tengah pula berkata antara initipati manifesto BN yang menarik perhatiannya sebagai golongan muda ialah usaha parti itu dalam memperkasa kelebihan dan bakat belia di luar bandar termasuk dalam aspek keusahawanan.
Di LAHAD DATU, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Silam, Mizma Appehdullah berkata BN komited memberi perhatian khusus kepada wanita bagi memastikan golongan itu menikmati kehidupan yang berkualiti dan sejahtera bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Banyak inisiatif bakal dilaksanakan BN dalam menjaga kebajikan wanita termasuk memastikan golongan ini terus berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam membantu meningkatkan kemajuan negara serta taraf hidup golongan wanita itu sendiri."
"Justeru itu, akan lahir ramai wanita bekerjaya dan berjaya dalam apa jua bidang profesional atau kemahiran, maka tiada sebab untuk BN kalah menjelang PRU14 nanti,"katanya.
Pekerja swasta, Artina Abbas, 36, berkata satu kegembiraan kepada golongan usahawan wanita apabila manifesto BN menggariskan untuk menubuhkan sebuah pusat transformasi usahawan wanita di setiap negeri dengan menggunakan model holistik PASARNITA.
"Usaha ini bakal memudahkan wanita meluaskan lagi perniagaan wanita sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Di SANDAKAN, Ketua Pemuda Parti Gerakan Sabah Chan Tzun Hei menyifatkan manifesto BN, terbukti BN jujur dan ikhlas dalam melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya sejak pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, perkara MA63 telah direalisasikan secara peringkat dan kini dijadikan sebagai aku janji manifesto BN menunjukkan perjuangan ini didengar di peringkat persekutuan.
Ini termasuk kuasa untuk menentu tarif elektrik dan air sendiri, katanya.
Beliau berkata selain itu, Sekolah Aliran Inggeris yang bakal dilaksana kembali di negeri ini sudah tentu akan meningkatkan semula kualiti saingan antarabangsa anak-anak Sabah dalam menguasai bahasa antarabangsa selain bahasa kebangsaan.
Menurutnya sebagai golongan Transformasi Nasional (TN) 50, suara orang muda dipandang berat menerusi platform aplikasi MyCadang untuk orang muda memberi sumbangan idea dan aspirasi terhadap pembangunan negara.
-- BERNAMA