MCA Garis 10 Aku Janji, 10 inisiatif dalam manifesto PRU14

Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga, kiri) ketika melancarkan Manifesto MCA bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Wisma MCA hari ini.
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- MCA hari ini menzahirkan 10 aku janji dan 10 inisiatif dalam manifestonya bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), dengan memperkasakan golongan belia sebagai tonggak utama.
Manifesto itu dilancarkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai di Wisma MCA di sini.
Turut hadir Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ong Ka Chuan.
"Manifesto MCA untuk PRU14 adalah inisiatif parti untuk memastikan manifesto Barisan Nasional (BN) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tiada seorang pun, tanpa mengira kaum, akan diketepikan.
"Oleh itu, kami (MCA) akan melakukan yang terbaik dan kami memberi jaminan kepada masyarakat Cina dan semua rakyat di negara ini, bahawa kami akan melaksanakan manifesto ini," kata Liow pada sidang akhbar selepas pelancaran itu.
Sepuluh aku janji itu termasuk janji untuk memperkasakan golongan belia dan wanita dengan menawarkan peluang perniagaan baharu dan latihan kerja untuk membangunkan kemahiran keusahawanan sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan memanfaatkan hubungan dengan China dengan membuka peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan di China dan dengan usahawan China.
Dalam manifesto itu, MCA juga berjanji untuk melakukan transformasi perniagaan tradisional, terutama perusahaan kecil dan sederhana, termasuk industri kotej dan entiti perniagaan rumah, untuk mengambil peluang gelombang e-dagang bagi memperbaiki kehidupan kumpulan pendapatan rendah dan sederhana.
Selain itu MCA juga berjanji mentransformasikan kampung baru kepada pusat bandar baharu dengan mempromosikan e-dagang, pertanian moden dan pelancongan ekobudaya.
Selain menzahirkan 10 aku janji itu, MCA juga menggariskan 10 inisiatif untuk dilaksanakan jika parti itu diberi mandat oleh rakyat pada PRU14.
Sepuluh inisiatif itu termasuk usaha untuk menubuhkan Unit Pemantauan Pusat atau Biro yang terdiri daripada ahli akademik, profesional, usahawan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau dasar kerajaan, rancangan dan program kerajaan untuk memastikan pelaksanaannya adalah secara adil dan berkesan.
Parti itu juga akan mengambil inisiatif untuk menubuhkan majlis ekonomi digital dan inovasi untuk menggalakkan perniagaan tradisional terutama industri kecil dan sederhana merebut peluang dan menerapkan budaya e-dagang dan revolusi digital.
Bagi pendidikan tinggi bertaraf dunia, Universiti Tunku Abdul Rahman akan menubuhkan hospital pengajar di Kampar Perak untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan, selain meningkatkan keupayaan universiti bagi pengajian pascasiswazah.
-- BERNAMA