Kenaikan BR1M bukti BN utamakan kemakmuran ekonomi rakyat
KOTA KINABALU, 8 April (Bernama) -- Habuan lebih besar penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan kemakmuran ekonomi rakyat, kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar hari ini.
Katanya, kemampuan BN sebagai kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan negara membolehkan kek ekonomi negara dapat diagihkan secara adil kepada semua rakyat.
"Berbeza dahulu bila (agihan ekonomi) lebih kepada subsidi pukal. Sekarang, kita jalankan subsidi itu secara bersasar.
"Jadi, inilah usaha BN selama menjadi kerajaan, yang bukan sahaja memberi kenikmatan dan kemakmuran ekonomi kepada rakyat, tetapi agihan kek ekonomi itu juga dapat dibuat," katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya Pemuda BN Sabah di sini.
Jamawi, yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenom, mengulas kenaikan kadar BR1M dalam Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi
Di TENOM, Ketua Kampung Tilis, Simun Muli, 60, berkata janji dalam manifesto BN untuk menaikkan BR1M adalah satu berita gembira buat semua penerima bantuan itu dan semestinya memberi banyak manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
"Sebagai penerima bantuan itu, saya berasa sangat bersyukur kerana bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami yang tinggal di kawasan pedalaman, ia sangat bermakna kepada kami," katanya.
Ketua Kampung Magusob, Larau Abau, 59 pula berkata kenaikan BR1M itu membuktikan kerajaan cukup prihatin dengan rakyat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan di negara ini.
"Oleh itu kita berharap BN akan terus menerajui kerajaan agar semua yang dijanjikan dapat ditunaikan," katanya.
Di SANDAKAN, Ketua Pemuda Parti Gerakan Sabah Chan Tzun Hei berkata pengumuman gandaan BR1M membawa mesej bahawa pendapatan negara melalui pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus memberi pendapatan yang kukuh dan mampan untuk negara.
Katanya, pengumuman itu juga memberi mesej bahawa kerajaan prihatin dengan taraf hidup rakyat dan memberi bantuan tepat kepada kumpulan sasar, di samping mereka membayar GST, kerajaan turut membantu untuk meringankan beban hidup mereka melalui BR1M.
"BR1M ini diberikan sebagai menjaga rakyat secara menyeluruh dan mengikut kemampuan dan disebabkan kerajaan (BN) mampu, maka bantuan ini dapat diperluas dan ditambah," katanya.
Di SEMPORNA, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata gandaan BR1M jelas membuktikan BN komited untuk terus menyantuni rakyat.
Beliau berkata durian runtuh diumumkan Perdana Menteri itu juga menunjukkan komitmen berterusan BN memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat di semua peringkat.
Sementara itu, seorang penduduk Semporna, Fitri Rohayati Deriyono, 37 dari Kampung Simunul berkata manifesto BN yang dilancarkan itu satu manifesto merangkumi semua aspek selain intipatinya turut menepati citarasa serta inspirasi rakyat, terutama di Semporna, yang berupaya membantu meningkatkan lagi aspek sosial dan ekonomi penduduk.
Muhamad Hasnul Takaddam, 24, dari Kampung Terusan Tengah pula berkata gandaan BR1M itu juga bukti kerajaan peka terhadap kebajikan golongan berpendapatan rendah, terutama di luar bandar menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Di KUNAK, pengamal media Ibrahim Tabir, 40 berkata pengumuman gandaan BR1M itu sangat menggembirakan penerima dan akan dapat membantu meringankan serba sedikit beban kehidupan rakyat, terutama golongan berkeluarga.
Di LAHAD DATU, suri rumah Sutarni Suddin, 44, berkata manifesto yang dibentangkan itu turut bertepatan dalam menyantuni keperluan dan kehendak semua lapisan masyarakat masa kini bagi mencapai satu taraf kehidupan yang lebih baik.
"Insya-Allah, kami akan sentiasa menyokong BN untuk terus mentadbir negara untuk tempoh lima tahun akan datang lagi dan berharap segala janji itu ditunaikan agar rakyat juga dapat menyumbang kepada pembangunan negara sekali gus membawa negara ini ke arah kecemerlangan," katanya.
Di KENINGAU, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Sairin Karno berkata manifesto yang dilancarkan Perdana Menteri merupakan jaminan dan komitmen kerajaan BN yang sangat berani dan benar-benar ikhlas kepada rakyat.
"Kenaikan BR1M sebagai satu contoh, menunjukkan Perdana Menteri benar-benar seorang lelaki budiman dan membuktikan tabungan kerajaan dalam keadaan selesa," katanya.
-- BERNAMA