PRU 14: Menifesto BN lebih jauh dalam perkasakan negeri Borneo

Datuk Seri Anifah Aman (Gambar fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) adalah jauh lebih ke hadapan dalam pemerkasaan negeri-negeri Borneo berbanding Pakatan Harapan (PH).
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dalam manifesto PH adalah 'redundant', kerana sudah pun dilakukan oleh kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya sendiri mempengerusikan jawatankuasa tersebut. Ini sekaligus menunjukkan betapa PH sebenarnya tidak peka dengan sebarang perkembangan berkaitan MA63," kata Anifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Sabah dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilancarkan malam tadi sebagai inklusif, realistik dan berkesinambungan dengan apa yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini.
"Manifesto BN juga menekankan sifat konsensus dan 'power sharing' yang sebenar antara negeri dan pusat, serta konsisten dengan agenda memperkasakan semangat MA63," tambahnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap ketulusan Najib untuk memperbetulkan kesilapan dan kesalahan pada pihak kerajaan persekutuan, khususnya pada zaman sentralisasi kuasa di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir dahulu.
"Justeru, demi kesinambungan dan pembangunan berterusan rakyat Sabah, saya berharap agar sokongan dan mandat diberikan semula kepada BN," katanya.
-- BERNAMA