Manifesto BN realistik, bersifat mikro - Ahli Akademik

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pengiktirafan terhadap golongan wanita, peningkatan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pengembalian hak Sabah dan Sarawak, manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai sebuah manifesto yang realistik dan bersifat mikro.
Bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku', manifesto tersebut dilancarkan malam tadi oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil dengan kehadiran kira-kira 40,000 penyokong BN.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata manifesto BN kali ini lebih fokus kepada penyasaran mikro iaitu memberi penumpuan lebih kepada peringkat akar umbi.
Katanya manifesto berkenaan memaparkan hasrat serta janji BN dalam membaik pulih proses pasaran dan mempertingkat pemberian tunai kepada rakyat melalui penambahan jumlah BR1M serta dua kategori baharu BR1M, selain bersifat inovatif yang berterusan.
"Bagi saya, manifesto BN ini adalah satu manifesto yang boleh memperkasakan Malaysia, realistik dan berdaya maju ... Paling penting ia tidak meminggirkan golongan akar umbi yang akan memperluas kemakmuran negara," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Md Shukri selain golongan B40 dan M40, golongan "top 20" dalam kalangan masyarakat juga turut mendapat manfaat daripada manifesto BN melalui pembangunan infrastruktur berterusan yang akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.
"Jadi melalui manifesto ini, semua golongan masyarakat akan menikmati pembangunan yang sesuai mengikut kumpulan masing-masing... tidak ada yang dipinggirkan," jelasnya.
Bagi penganalisis politik kelahiran Sarawak, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, manifesto BN untuk PRU14 ini ternyata memberi kelebihan kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak dari segi agenda pembangunan dan melahirkan modal insan.
Selain itu, katanya ia juga akan memulangkan hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, yang akan direalisasikan secara persetujuan bersama antara kerajaan persekutuan dengan KerajaanSabah dan Sarawak.
"Kalau kita lihat kepada aspek pembangunan infrastruktur, keselamatan, dan modal insan, ia merupakan manifesto yang menyeluruh, malah pembangunan usahawan juga turut diperuntukkan," katanya.
Ini, kata pensyarah kanan Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya itu, bakal meningkatkan daya saing usahawan Sabah dan Sarawak sekali gus "dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" dengan usahawan di Semenanjung.
Awang Azman dalam pada itu turut mencadangkan supaya tumpuan juga diberikan terhadap pembangunan rumah-rumah kampung Melayu di Sarawak, selari dengan janji BN untuk menaik taraf rumah panjang di Sarawak dan rumah air di Sabah.
"Kita tahu mereka perlukan bantuan yang sewajarnya ... dan mengikut statistik terkini masyarakat Melayu Sarawak adalah etnik kedua terbesar di Sarawak dan juga penyokong setia BN. Perkara ini perlu disampaikan Ketua Menteri Sarawak kepada Perdana Menteri," katanya.
Mengenai manifesto BN secara keseluruhannya, beliau berkata ia adalah manifesto yang komprehensif yang dibuat berdasarkan maklum balas sama ada di peringkat Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan penyelidikan, serta sentimen semasa masyarakat masa kini.
"Contohnya mengangkat peranan ibu dan wanita dalam bidang korporat, politik dan mengiktiraf mereka sebagai tulang belakang negara. Ini secara tidak langsung mengangkat institusi kekeluargaan dan institusi formal yang lain.
"Selain itu, projek-projek pengangkutan yang dijalankan secara berterusan menunjukkan hasil pungutan cukai itu (GST) dilaburkan semula ke dalam usaha untuk memodenkan sistem pengangkutan awam, " tambahnya.
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan duit hasil kutipan GST tidak dilaburkan semula kepada rakyat, sambil menegaskan: "inilah yang perlu diperjelaskan dalam kempen-kempen BN di peringkat negeri ... kedudukan sebenar perlu dijelaskan kepada rakyat ".
-- BERNAMA