Karnival kerja pemuda BN Sabah tawar 3,000 peluang pekerjaan




Yamani Hafez Musa melancarkan Karnival Kerjaya BN Sabah yang membuka 3000 peluang pekerjaan daripada 51 buah syarikat yang mengambil bahagian pada karnival tersebut hari ini.

PENAMPANG, 8 April (Bernama) -- Prihatin dengan permintaan golongan belia secara umum di Sabah, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri menganjurkan Karnival Kerjaya yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan.

Ketua Pemudanya Yamani Hafez Musa berkata penganjuran karnival itu hari ini, hasil daripada maklumat yang dikumpul menerusi Program Jelajah Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Kolokium Belia yang diadakan di seluruh negeri.

"Kita kena sediakan peluang pekerjaan kerana inilah isu penting yang dibangkitkan orang muda.

"Di samping menurunkan kadar pengangguran, kita juga akan pastikan kebolehpasaran golongan muda untuk diambil bekerja, " katanya ketika ditemui selepas merasmikan karnival itu di sini.

Beliau berkata Pergerakan Pemuda Negeri mengambil serius harapan golongan belia di negeri ini dan akan berusaha untuk menambah nilai program pergerakan itu agar membawa manfaat kepada golongan terlibat.

Yamani Hafez berkata kira-kira 4,500 permohonan temuduga diterima melalui dalam talian, manakala hingga tengah hari tadi, lebih 2,000 membuat permohonan secara sendiri.

Sepanjang karnival bermula 8 pagi hingga 9 malam itu berlangsung, surat tawaran pekerjaan akan diserahkan kepada pencari pekerja secara 'in situ' yang berjaya dalam sesi temuduga oleh 57 syarikat swasta yang terlibat dalam karnival itu.

Desideria Gilbert, 19, dari Tambunan adalah antara yang menerima surat tawaran dan diserahkan sendiri oleh Ketua Pemuda BN negeri itu.

Beliau yang hadir sejak 8 pagi tadi berpeluang untuk ditemuduga secara terus sebaik membuat permohonan di sebuah syarikat spa tempatan di Kota Kinabalu yang menyertai karnival itu.

"Saya amat teruja. Saya tidak sangka diterima kerja dalam terapi spa. Kalau di Tambunan, saya hanya diambil kerja sebagai juruwang kedai," katanya.

-- BERNAMA