PRU14: Ramai calon muda beri gambaran BN punyai pemimpin muda





PENAMPANG, 8 April (Bernama) -- Kemunculan ramai calon muda pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan memberi gambaran Barisan Nasional (BN) tidak kekurangan pemimpin muda yang berkaliber untuk memajukan rakyat dan negara.

Ketua Pemuda BN Sabah Yamani Hafez Musa berkata pihaknya telah menyerah cadangan untuk mengetengahkan lebih ramai calon daripada golongan muda.

"Saya rasa tiba masanya untuk kita menonjolkan lebih ramai bakat-bakat baharu.

"Bagaimanapun, kita tunggu pengumumannya oleh pucuk pimpinan parti yang saya rasa dalam masa terdekat sahaja lagi," katanya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN Sabah di sini hari ini.

Ditanya jika beliau akan dicalonkan dalam PRU14 ini, Yamani Hafez berkata soal calon bukan penting, tetapi amanah yang diberikan oleh parti kepada lebih ramai anggota muda.

Antara nama anggota Pemuda BN yang disebut untuk bertanding pada PRU14 ialah Caeser Mandela Malakun dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Penampang.

"Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pemuda (BN Sabah) tadi, saya serahkan (pencalonannya) kepada kepimpinan parti.

"Bagi kami semua dalam BN Penampang, kemenangan BN dalam PRU14 nanti adalah penting. Come what may," katanya.

Ketika ditanya pemberita apa yang akan diperjuangkannya seandainya dicalonkan khususnya di Penampang, Malakun berkata beliau akan memberi perhatian kepada isu golongan muda seperti peluang pekerjaan, peluang keusahawanan dan pendidikan serta memajukan lagi daerah Penampang seiring dengan pembangunan Kota Kinabalu.

"Ini bukan sahaja rancangan saya, tetapi rancangan BN Penampang. Inilah antara aspirasi UPKO, aspirasi BN Penampang yang kami akan bangkitkan selepas hari penamaan calon nanti apabila semua parti mula berkempen, " katanya.

Malakun juga memberitahu Penampang berpotensi untuk dilonjakkan sebagai hab teknologi maklumat Sabah dengan wujudnya Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), yang menempatkan sebuah pusat siber berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC), yang dijangka beroperasi hujung tahun ini.

-- BERNAMA