Manifesto BN mampu dicapai - Pemuda BN Sabah





PENAMPANG, 8 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi, sebuah manifesto yang mampu dicapai, kata Pergerakan Pemuda BN Sabah.

Menyifatkan manifesto itu sebagai 'istimewa', ketua pergerakan negeri itu Yamani Hafez Musa berkata manifesto itu turut memberi perhatian khusus kepada Sabah dan Sarawak, terutama sekali dalam mengembalikan hak dua negeri itu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Banyak lagi dalam manifesto yang amat realistik dan ia bertepatan dengan apa yang dikehendaki rakyat."

"Dalam manifesto tersebut, BN memberi komitmen dari segi perluasan telekomunikasi di Sabah dan Sarawak bernilai RM2 bilion dan juga elektrik sebanyak RM2.3 bilion serta subsidi air khas untuk Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN Sabah di sini hari ini.

Di samping manifesto yang dilancarkan malam tadi, Yamani Hafez berkata Pergerakan Pemuda BN juga menantikan pelancaran manifesto pergerakan itu sendiri oleh ketuanya Khairy Jamaluddin pada 10 April ini yang akan memperincikan agenda BN untuk golongan belia negara ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar, yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenom, berkata manifesto BN memberi banyak berita gembira kepada golongan belia, khususnya di Sabah.

"Kita sambut baik manifesto ini, antaranya penempatan 90 peratus guru (masing-masing) di Sabah dan Sarawak terdiri daripada guru kelahiran negeri itu sendiri, yang setakat ini dimaklumkan 87 peratus telah tercapai."

"Begitu juga pengiktirafan untuk memberikan hak elektrik dan gas kepada Sabah dan Sarawak, yang ia kesinambungan daripada hak mencari gali petroleum sebelum ini," katanya.

Jamawi juga berkata jaminan tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun sesuatu yang diharapkan golongan belia.

Caeser Mandela Malakun daripada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) juga berkata manifesto BN itu mampu dicapai kerana direka mirip bajet tahunan yang dibentangkan Perdana Menteri, bukan sekadar janji pilihan raya.

"Bezanya, 'bajet' ini untuk jangka masa lebih panjang iaitu lima tahun.

"Saya memanggil manifesto ini sebagai bajet kerana manifesto itu telah dikaji dengan sangat teliti yang menyasarkan rakyat dan merupakan perancangan yang boleh dilaksanakan. Apa yang dijanjikan bukan mustahil (untuk ditunaikan)," katanya.

-- BERNAMA