Manifesto:Jurang digital bandar dan Luar bandar akan terus dirapatkan




KUALA TERENGGANU, 8 April (Bernama) -- Jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar akan terus dirapatkan dengan pelbagai inisiatif daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kini giat mewujudkan kerajaan digital.

Itu antara matlamat yang mahu dicapai oleh kerajaan BN menerusi manifesto Memperkasakan Digital untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata pelbagai pembangunan dan kemudahan infrastruktur telah diwujudkan kerajaan seperti pembinaan menara telekomunikasi, rangkaian fiber, Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan sambungan WiFi di kawasan luar bandar bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan itu di mana sahaja mereka berada.

"Ia telah banyak memberi perubahan positif terhadap rakyat di luar bandar dan pedalaman. Ini bagi memenuhi agenda mengurangkan jurang digital di antara bandar dan luar bandar. Pada mulanya, infrastruktur dan perkhidmatan komunikasi diberi fokus. Kemudian, bermulanya Pelan Jalur Lebar Kebangsaan dilancarkan pada tahun 2008, memberi fokus dalam melebarkan liputan dan perkhidmatan jalur lebar.

"Sasaran kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) ialah untuk mencapai liputan jalur lebar sebanyak 20 Mbps di 50 peratus kawasan pedalaman.

"Dengan usaha-usaha ini, kami sudah mencapai Penembusan Jalur lebar isi rumah sebanyak 85 peratus pada suku keempat tahun lalu. Sasaran kami ialah untuk mencapai 95 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2020 nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Jailani berkata melalui manifesto BN, setiap satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memiliki satu PI1M memang giat dilaksanakan hingga sekarang.

"Setakat ini, sebanyak 848 PI1M telah dibina dan beroperasi di seluruh negara iaitu 63 pusat telah beroperasi di Terengganu. Melalui PI1M, penduduk sudah mula diajar penggunaan ICT dan keusahawan dalam talian.

Ini akan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi mereka dengan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara dalam talian seiring dengan manifesto kerajaan untuk mewujudkan 1 juta usahawan digital dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Produk-produk mereka sudah dapat menembusi pasaran ke seluruh negara dan malah ada juga yang memasarkan ke luar negara juga. Ini secara langsung menyokong agenda digital ekonomi yang dibawa kerajaan," katanya.

Selain itu, manifesto BN turut menyentuh penambahan aplikasi dalam talian dalam usaha kerajaan membasmi rasuah dalam perkhidmatan awam.

Beberapa penambahan aplikasi dalam talian bagi membasmi rasuah akan diperkenalkan termasuk aplikasi iKepoh yang membolehkan orang awam membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui telefon pintar dan mewujudkan sekurang-kurangnya satu PI1M di setiap DUN dalam satu-satu kawasan.

-- BERNAMA