Fikir keharmonian, kestabilan, keamanan dan ekonomi bila pilih kerajaan - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2018 di Perkarangan Majlis Perbandaran Tawau malam ini.
TAWAU, 8 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat agar memikirkan mengenai keharmonian, kestabilan dan keamanan ketika membuat keputusan memilih kerajaan pada pilihan raya umumke-14 (PRU14) ini.
Katanya rakyat juga perlu memikirkan siapa yang berupaya membawa kemajuan dan membangunkan ekonomi negara untuk dinikmati semua lapisan rakyat apabila menentukan kerajaan pilihan mereka pada PRU berkenaan.
"Kita mesti melihat siapakah yang dapat mengekalkan keharmonian dalam negara kita ini, hubungan yang begitu serasi antara kaum, agama, budaya tanpa mengira warna kulit tetapi kita tetap dalam ikatan yang padu.
"Saya lihat bahawa Sabah ini merupakan contoh terbaik di Malaysia ini (dari segi keharmonian kaum)," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT), di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan Timbalannya Datuk Seri Yahya Hussin.
Menurut Najib rakyat juga perlu memilih kerajaan yang berupaya mewujudkan kestabilan politik di negara ini kerana kestabilan politik akan menentukan pembangunan sesebuah negara.
"Tanpa kestabilan politik tidak mungkin kita dapat membawa pembangunan. Tanpa kestabilan politik dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri tak mungkin kita dapat bawa kemajuan kepada negeri Sabah.
"Dalam tempoh BN (Barisan Nasional) memerintah, kita telah dapat menentukan kestabilan politik dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri," kata Pengerusi BN itu.
Menurut Najib keamanan juga perlu menjadi ukuran rakyat apabila mereka memilih kerajaan kelak kerana dengan adanya keamanan rakyat akan dapat menikmati hidup lebih sejahtera.
Justeru katanya, beliau memberi komitmen tinggi untuk menentukan keamanan di Sabah termasuk di kawasan pantai timur negeri itu akan terus dipertahankan kerajaan.
"Setiap rakyat dan setiap inci bumi Sabah ini akan kita pertahankan sampai bila-bila," tegas Najib.
Najib berkata rakyat juga harus memilih kerajaan yang berupaya membangunkan ekonomi negara dalam apa juga keadaan dengan baik kerana kejayaan membangunkan ekonomi akan memberi limpahan rezeki kepada semua lapisan rakyat.
Sebagai contoh katanya, kerajaan berupaya menggandakan nilai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat seperti diumumkan dalam Manifesto Barisan Nasional semalam kerana kerajaan mempunyai lebihan pendapatan berikutan kemampuannya menguruskan ekonomi dengan baik dan cekap.
"Falsafah yang saya pegang sebagai ketua kerajaan ialah kalau hasil kerajaan bertambah, kita mesti agihkan kekayaan itu kepada rakyat. Kita mesti bantu rakyat yang memerlukan, " katanya.
Katanya lebihan hasil kerajaan melalui kutipan pelbagai sektor berkenaan perlu diagihkan kepada rakyat yang memerlukan dan bukannya untuk disimpan.
"Jangan mainkan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan dan kos sara hidup tetapi tidak memberi jawapan kepadanya," kata Najib.
Beliau berkata kerajaan BN menjawab kritikan berhubung isu itu dengan mengembalikan lebihan pendapatan kerajaan kepada rakyat dalam pelbagai kaedah termasuk menggandakan nilai BR1M.
-- BERNAMA