Dun Terengganu dibubarkan hari ini 
KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubar hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembubaran DUN Terengganu itu telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin selepas beliau menghadap baginda di Istana Syarqiyyah, di sini kira-kira 10.17 pagi tadi.
"Dengan pembubaran ini ia memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka kehendaki," katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Wisma Darul Iman, di sini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu dan meminta kerajaan negeri, kecuali Sarawak, turut membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRU14 dilakukan secara serentak.
Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan masing-masing empat disandang BN dan PAS. BN menang 17 daripada 32 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu).
Dalam ucapannya, Ahmad Razif mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri Terengganu kerana telah memberi kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri sepanjang tempoh lima tahun.
Kerajaan BN telah melaksanakan dan memberikan yang terbaik untuk rakyat. Kuasa kini dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.
Bagi pihak BN kami berikrar bahawa sekiranya kami diberi mandat sekali lagi untuk menubuhkan kerajaan, kami akan pastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini dapat dikekalkan selaras dengan kerangka dan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang terkandung dalam Maqasid Syariah, katanya.
Tambah beliau, BN akan menghadapi PRU14 ini dengan yakin berdasarkan pencapaiannya yang lalu.
-- BERNAMA