Speaker Terengganu serah notis bubar DUN kepada SPR




KUALA TERENGGANU 9 April (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong hari ini menyerahkan watikah pembubaran DUN Terengganu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Terengganu.

Mohd Zubir menyerahkan watikah itu kepada Pengarah SPR negeri, Nik Andy Suwardy Amry di Wisma Darul Iman di sini, pada 12 tengah hari ini.

Pembubaran itu bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menerusi satu kenyataan, Mohd Zubir berkata pembubaran tersebut adalah selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 44 (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu, dan mulai hari ini kerajaan sementara akan mengambil tanggungjawab sehinggalah kerajaan baharu dilantik selepas pilihan raya.

"Setelah DUN dibubarkan, mengikut perkara 44(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu, hendaklah diadakan pilihan raya umum dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran DUN," katanya.

Selain itu DUN yang baharu hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh tidak lewat daripada 90 hari daripada tarikh pembubaran (hari ini).

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10.17 pagi tadi.

Kemudiannya watikah tersebut diserahkan kepada Mohd Zubir dalam satu majlis ringkas dengan turut dihadiri Exco kerajaan negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan masing-masing empat disandang BN dan PAS. BN menang 17 daripada 32 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu).

-- BERNAMA