Akademi Pilihan Raya komited didik masyarakat mengenai pilihan raya

Oleh Nur Syuhada Samsudin dan Rosmalis Anuar
PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Akademi Pilihan Raya (APR), yang ditubuhkan sejak 2007 di bawah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), adalah bahagian yang memainkan peranan penting dalam program pendidikan pengundi agar masyarakat lebih memahami proses pilihan raya.
Sebelum pembubaran Parlimen, yang berkuat kuasa pada 7 April, diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, APR telah giat melakukan pelbagai program pendidikan pengundi untuk memastikan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berjalan lancar.
Selain memberikan latihan khusus kepada pegawai dan staf SPR serta petugas-petugas pilihan raya, APR giat turun padang ke seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada masyarakat pelbagai peringkat mengenai proses pilihan raya.
Pengarah APR Hasanul Isyraf Naim berkata kira-kira 30,000 peserta merangkumi masyarakat pelbagai peringkat mendapat manfaat menerusi program pendidikan pengundi yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas.
Program pendidikan pengundi semakin rancak diteruskan tahun ini, yang merupakan tahun PRU14, khususnya anggota pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, petugas dan ejen parti-parti politik serta organisasi media untuk mereka memahami proses pilihan raya.
Menerusi program tersebut, beliau berharap persepsi negatif sesetengah pihak yang mendakwa SPR tidak telus dalam menguruskan pilihan raya akan terhakis, manakala kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mendaftar sebagai pemilih dan pentingnya untuk keluar mengundi akan dapat dipertingkatkan.
"Apabila kita turun (padang), kita membawa set simulasi dengan menunjukkan proses pengundian itu bagaimana. Ini supaya mereka terbuka minda dan percaya dengan sistem, seterusnya pergi mendaftar (pemilih) dan mengundi," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabat APR, baru-baru ini.
Sejak menyertai APR pada 2014, Hasanul Isyraf bertekad mahu APR dan SPR lebih dekat di hati masyarakat menerusi program pendidikan pengundi dan sehubungan itu, pasukannya turun padang untuk memperluaskan kumpulan sasaran secara berperingkat termasuk pengundi muda dalam kalangan penuntut universiti, kolej komuniti dan politeknik.
"Jika ada ruang selepas ini (PRU14), kita akan mula turun ke sekolah-sekolah. Misi kami di APR untuk membuat pendedahan lebih awal kepada bakal pengundi ini," katanya.
Beliau percaya pendedahan sejak peringkat usia lebih muda akan membuahkan hasil untuk jangka masa panjang kerana golongan tersebut sudah mempunyai kesedaran terhadap kepentingan untuk mendaftar sebagai pemilih dan keluar mengundi.
"SPR sudah berusia 61 tahun. Cuma dahulu mungkin fokus kita lain. Tetapi sekarang ini pendidikan (pengundi) perlu dilaksanakan dahulu kerana jika persepsi itu sudah negatif kepada kita, sukar untuk diperbetulkan semula.
"Sebelum orang 'attack', kita pergi dahulu kepada mereka. Kita bercerita dahulu. Kita bina persepsi yang bagus mengenai SPR. Apabila ada perkara negatif yang mereka dengar, mereka kemudiannya boleh menilai mana yang betul atau tidak," katanya.
Hasanul Isyraf berkata APR selesai memberikan latihan dan taklimat ulangan kepada para petugas pilihan raya terdiri daripada rakyat Malaysia yang diberi kepercayaan mengendalikan PRU14 antaranya penjawat awam, guru-guru, pekerja swasta dan masyarakat setempat pada akhir Mac lepas.
"Mungkin ada yang tidak tahu setiap kali pilihan raya bukan SPR per se yang buat. Kita meminta bantuan daripada pegawai pengurus (RO) yang dilantik. Mereka yang menguruskan pilihan raya sebenar di peringkat parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kita cuma sediakan kemudahan sahaja.
"Untuk PRU14 ini, mereka sudah bersedia bertugas bila-bila masa. Latihan telah diberikan sejak Mac hingga Oktober tahun lepas dan kita telah selesai menjelajah ke 222 Parlimen. Manakala, awal tahun ini sehingga Mac, kita beri lagi latihan ulangan," kata beliau.
Lebih 250,000 petugas yang dilantik ini berperanan sebagai pelaksana dalam urusan perjalanan pilihan raya khususnya dalam urusan pengundian, pengiraan undi, pengeluaran, pembukaan sampul, pengiraan dan penyimpanan kertas undi pos.
Pemilih berdaftar boleh membuat semakan menerusi empat cara iaitu menggunakan aplikasi pintar MySPR Semak; portal rasmi SPR www.spr.gov.my; SMS ke talian 15888 dengan menaip SPR no. kad pengenalan atau menghubungi talian SPR 03-88927018.
Marilah rakyat Malaysia jayakan tanggungjawab anda dalam proses demokrasi negara pada PRU14.
#jomkitasemak #jomkitaundi #undiandapenentumasadepannegara.
-- BERNAMA