Tolak pembangkang untuk kesinambungan pembangunan Sabah - Najib

TAWAU, 9 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Sabah menolak parti-parti pembangkang seperti Parti Warisan Sabah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, sebaliknya memilih Barisan Nasional (BN) demi kesinambungan pembangunan di negeri itu.
Pengerusi BN itu berkata rakyat perlu menolak parti-parti pembangkang berkenaan kerana mereka langsung tidak pernah berjasa kepada rakyat.
"Yang berbudi adalah kerajaan BN, cuba lihat manifesto BN dan kalau orang kata kita ini negara bankrap, BN tidak boleh menyediakan UTC, Lebuh Raya Pan Borneo, naik taraf sekolah-sekolah daif, sedia bekalan air dan letrik luar bandar serta tambah lagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
"Apa janji kita dalam tempoh lima tahun iaitu pemberian BR1M RM1,200 tetapi kita bagi lebih daripada itu dengan tahun ini kita bagi RM2,000,"Â katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau di sini hari ini.
Turut hadir ialah isteri Najib Datin Sri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan dua timbalannya Datuk Seri Yahya Hussin dan Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali.
Menurut Najib, selain memberikan BR1M, kerajaan BN juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk membaik pulih dan menaiktaraf 120 buah sekolah daif di Sabah menggunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS).
Katanya kemampuan kerajaan menyediakan peruntukan besar serta mengagihkan BR1M untuk dinikmati rakyat jelas menafikan dakyah pembangkang kononnya negara ini sebuah negara bankrap.
Sebaliknya tegas Najib kerajaan BN telah menguruskan kewangan negara dengan cekap dan berkesan sehingga apabila hasil negara bertambah, hasil itu juga dikembalikan kepada rakyat.
"Kalau rakyat hadapi kos sara hidup, kita tambah BR1M. Pembangkang pada mulanya kutuk BR1M sebagai dedak tetapi alih-alih ada pula BR1M dalam manifesto mereka.
"Itulah pembangkang yang dahulu, hari ini dan esok sentiasa cakap lain. Sebab itu cakap orang pembangkang tidak boleh pakai dan rakyat hanya boleh yakin kepada BN.
"...jangan alih-alih lagi, jangan ubah-ubah lagi yang sudah kita yakin," katanya sambil menasihatkan rakyat agar mengekalkan perkara baik supaya kesimbungan kebaikan dibawa BN dapat diteruskan.
Pada akhir ucapannya, Najib turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk menaiktaraf Pasar Tanjung UTC Tawau bagi keselesaan para peniaga.
-- BERNAMA