Kerajaan mampu biayai pelbagai bantuan kepada rakyat

BACHOK, 9 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan berkemampuan untuk membiayai pelbagai bentuk bantuan yang diumumkan kepada rakyat kerana mempunyai kewangan yang kukuh dan keadaan ekonomi pula semakin berkembang.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pada tahun lepas keadaan ekonomi negara berkembang pada kadar 5.9 peratus manakala pada tahun ini dijangka berkembang antara 5.5 peratus dan 6 peratus.
"Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri semuanya dijangka akan meningkat, disokong pula dengan harga minyak dunia yang sedang naik mendorong hasil kerajaan daripada pendapatan minyak akan bertambah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 12 madrasah (pusat pengajian agama) di Madrasah Mawaddah Kuin Pasir di sini, hari ini.
Mohd Irwan berkata kedudukan kewangan dan ekonomi yang baik itu akan membolehkan kerajaan berbelanja terutama dari segi kebajikan rakyat.
"Keadaan ekonomi sekarang ini amat kukuh, bila hasil kerajaan bertambah kita beri balik kepada rakyat kerana kita mahu kurangkan beban sara hidup mereka," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Irwan berkata pihak yang mempertikaikan kemampuan kerajaan untuk membiayai bantuan kepada rakyat hanya sebagai bermotifkan politik dan tidak berlandaskan hakikat yang sebenar.
Mengenai tambang keretapi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), beliau berkata harga tiket tersebut belum ditetapkan namun ia tidak akan membebankan rakyat.
-- BERNAMA