Pemimpin BN Sabah perlu perjelas manifesto kepada rakyat

TAWAU, 9 April (Bernama) -- Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah mesti turun padang untuk menjelaskan Manifesto BN yang inklusif dan komprehensif bagi memastikan rakyat dapat memahaminya dengan baik, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata mereka harus menerangkan tentang janji-janji khusus untuk rakyat Sabah yang terkandung di dalam Manifesto BN itu, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas.
"Selama ini, apa yang dijanjikan oleh beliau (Najib), beliau kotakan. Kata dikota, janji ditepati, ini semua penting kerana beliau tahu apa gunanya berjanji kalau tidak boleh ditepati," katanya ketika berucap pada perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau oleh Najib di sini, hari ini.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Rosmah Mansor dan kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Yahya Hussin serta Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah.
Sehubungan itu, Musa menasihati rakyat Sabah supaya jangan terpengaruh dengan para pemimpin pembangkang kerana mereka hanya boleh berjanji namun tidak mampu mengotakannya.
"BN berani cakap kerana kita ada bukti. Contohnya perasmian UTC di Kota Kinabalu, Keningau dan bakal dirasmikan di Sandakan. Ini bukti penting...ini cara BN," katanya sambil memberitahu bahawa rakyat negeri ini menghargai kebaikan pemimpin BN.
Musa juga berkata kunjungan rasmi Najib ke Semporna dan Tawau mendapat sambutan yang menunjukkan reaksi positif rakyat kedua-dua daerah ini terhadap kepimpinan BN.
"Kalau ada orang bercakap ini (daerah) sudah jatuh (ke pembangkang), itu bohong serta syok sendiri kerana setiap kali perjumpaan BN bersama rakyat, ramai yang datang dan ini tanda rakyat bersatu hati.
"Rakyat Sabah mahukan perdana menteri yang sihat, yang masih muda. Buat apa perlu cari orang lama, orang lama biarlah berehat, Sabah mahu pemimpin yang sentiasa di hati," katanya sambil berharap rakyat Sabah akan terus memilih calon-calon BN pada PRU14.
-- BERNAMA