140,000 bekas polis sedia turun padang bantu kempen BN
BESUT, 9 April (Bernama) -- Sejumlah 140,000 anggota Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) bertekad turun padang untuk berkempen bagi membantu Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presidennya, Hussin Awang Ngah berkata pengalaman berada dalam cengkaman komunis menjadi pengajaran buat mereka dan yakin BN mampu meneruskan kecemerlangan dalam pemerintahan.
"Kami mempunyai anggota yang cukup di setiap negeri untuk membantu kerajaan terus kekal memerintah negara yang kami cintai ini", katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Cermin Mata Percuma kepada lebih 1,600 penerima di daerah Besut bertempat di Masjid Hadhari Jertih di sini petang ini.
Menurut Hussin, selama ini kerajaan yang memerintah telah membuktikan yang keamanan negara berjaya dipelihara hingga membolehkan setiap rakyat dalam negara dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
Sementara itu, mengenai pemberian cermin mata percuma, Hussin berkata sehingga bulan lalu PBPM telah berjaya mengagihkan lebih 20,000 cermin mata di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka.
Katanya, PBPM mempunyai sasaran mengedarkan 80,000 cermin mata kepada mereka yang memerlukan termasuk pesara polis, penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
Beberapa buah negeri lagi seperti Perlis, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak akan disinggahi selepas ini untuk mengagihkan bantuan cermin mata itu.
-- BERNAMA