BN perlu formula tingkatkan undi majoriti Parlimen Kota Marudu - Timbalan Perdana Menteri





KOTA MARUDU, 9 April (Bernama) -- Satu 'formula' diperlukan bagi memastikan Barisan Nasional dapat meningkatkan jumlah undi majoriti di Parlimen Kota Marudu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, formula itu harus dilakukan menerusi perundingan dan suatu persetujuan harus diperakukan oleh parti yang berunding.

"Kita menghormati prinsip persetujuan parti komponen dalam BN.

Ini penting kerana di pusingan terakhir ini, kita tidak mampu untuk mempunyai sebarang permasalahan kerana kita tahu sentimen di bawah (akar umbi), " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Matunggong dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid merujuk kepada kekalahan BN dalam mempertahankan kerusi negeri Matunggong pada PRU13 lepas yang menyebabkan undi majoriti Parlimen Kota Marudu menurun sedikit.

Pada PRU13, calon BN Sarapin Magana dari Parti Bersatu Sabah (PBS) gagal mempertahankan kerusi negeri Matunggong yang dimenangi Datuk Jelani Hamdan, yang ketika itu bertanding atas tiket PKR.

Ahmad Zahid berkata kajian terhadap tahap kebolehmenangan dan kebolehterimaan perlu diambil kira bagi memantapkan sokongan pengundi terhadap BN.

"Ini supaya ‘kekerasan kepalaan´ (keras kepala) menyebabkan kita (BN) kecundang (di Matunggong). Maka, kita hendaklah melakukan modifikasi terhadap sikap keras kepala itu," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata antara langkah untuk memenangi kerusi negeri Matunggong pada PRU-14 ini ialah dengan "meminjamkan " kuota PBS kepada UMNO.

"Ini bukanlah keputusan. Tetapi alangkah baiknya kerusi itu (Matunggong) dipinjamkan kepada UMNO dan saya percaya kerjasama antara adik-beradik dalam parti komponen mampu memastikan kemenangan besar dalam PRU14 ini," katanya.

Ahmad Zahid juag berkata daerah kecil Matunggong akan dinaik taraf sebagai daerah penuh apabila mandat diberikan semula kepada BN pada PRU14 ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Ahmad Zahid iaitu DatIn Seri Hamidah Khamis, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Presiden PBS, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Timbalan Presiden PBS dan penyandang anggota Parlimen Kota Marudu, dan penyandang kerusi negeri Matunggong Jelani yang kini telah beralih sokongan kepada BN.

-- BERNAMA